oleh
Abdul
Walid bin Ali
abdulwalidali@gmail.com
017
– 642 9908
Abstrak
Seni
teater di Malaysia merupakan seni persembahan yang mempunyai peminat yang ramai
dalam negara. Banyak pengkarya seni teater telah menjadikan seni teater sebagai
kerjaya professional dan tidak kurang juga yang meninggalkan seni ini atas
pelbagai faktor. Pertambahan institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus
teater telah menyebabkan pertambahan penggiat seni teater baharu dalam negara.
Mereka ini yang akan menjadi pelapis kepada penggiat-penggiat seni teater yang
terdahulu dan mereka pastinya mempunyai kelebihan memandangkan mereka telah
mendapat pendidikan secara formal dan dengan ilmu yang mereka ada, mereka boleh
meningkatkan kualiti persembahan teater. Namun begitu, masih banyak yang tidak
dapat bertahan dalam dunia teater. Kebanyakannya telah meninggalkan dunia
teater atas faktor ekonomi, tanggungjawab, kesukaran pemasaran dan juga
apresiasi seni khalayak Malaysia. Dalam menghasilkan teater, pelbagai cabaran
perlu dilalui oleh penggiat teater baharu. Dalam kajian ini, pengkaji akan
memfokuskan kepada cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh penggiat-penggiat
teater baharu dalam negara. Kajian ini lebih memfokuskan kepada seni persembahan
teater di sekitar Kuala Lumpur dan juga kumpulan teater baharu yang mementaskan
teater yang berskala kecil.
1.0 Pengenalan
Teater
merupakan satu seni persembahan yang melibatkan persembahan langsung antara
pelaku dan juga penonton. Teater boleh dianggap sebagai satu seni persembahan
yang telah lama wujud dan diminati oleh pelbagai jenis khalayak dengan pelbagai
taraf ekonomi dan budaya. Walaupun teater mendapat persaingan terhadap seni
filem namun nilai yang ada pada seni persembahan teater menyebabkan seni ini
masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Teater
juga mempunyai pelbagai genre yang akan ditonton oleh pelbagai kumpulan
khalayak berdasarkan minat yang berbeza-beza. Ini menjadikan kepelbagaian genre
dan penonton wujud dalam teater. Di Malaysia perkembangan teater bermula
daripada persembahan teater tradisional seperti Wayang Kulit, Makyong, Mek Mulong
dan Menora, dan seterusnya berkembang kepada pementasan teater moden. Perkara
ini berlaku akibat daripada penerimaan budaya lain dalam masyarakat.
Pertambahan
penggiat seni teater setiap tahun telah menyebabkan jumlah penonton teater
bertambah dari semasa ke semasa. Mereka merupakan golongan pelajar institut
pengajian tinggi yang menawarkan kursus ini seperti Universiti Malaya,Universiti
Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan banyak lagi. Golongan ini juga
terdiri daripada kumpulan peminat teater yang datang atas faktor minat kepada
seni persembahan teater dan tidak kurang juga hadir ke persembahan semata-mata
untuk melihat figura popular yang mereka minat.
Terdapat
dua golongan penggiat teater dalam negara ini. Satu golongan yang mahukan
keuntungan hasil daripada menjalankan persembahan dan satu golongan lagi
terdiri daripada mereka yang hanya mahukan keseronokan dan kepuasan dalam
berkarya. Namun begitu, dalam beberapa keadaan kedua-dua golongan boleh
bergabung untuk kepentingan masing-masing iaitu satu pihak mahukan kepuasan
berkarya manakala satu pihak lagi mahukan keuntungan. Mereka inilah
penggiat-penggiat teater yang akan terus menjadikan persembahan teater relevan
dalam negara.
Kumpulan penggiat teater baharu ini perlu melalui
kesukaran dalam mempromosikan karya mereka dan juga menghasilkan karya-karya
yang berkualiti. Mereka masih baharu dan perlukan bimbingan daripada banyak
pihak yang lebih berpengalaman.
2.0 Cabaran Penggiat Teater Baharu Malaysia
Berbicara
tentang penggiat-penggiat teater dalam negara, terdapat juga kumpulan penggiat
teater baharu yang inginkan ruang dalam berkarya. Mereka mahukan karya mereka
ditonton dan dapat menghiburkan penonton yang hadir. Kebanyakan penggiat teater
baharu yang terdiri daripada graduan seni persembahan dan juga peminat seni
teater telah berusaha mencarikan sesuatu yang baru untuk tontonan penonton
mereka. Mereka mempunyai banyak cabaran dalam menghasilkan karya dan
cabaran-cabaran ini mereka perlu lalui dan hadapi secara bijak supaya mereka
semua akan terus relevan dalam dunia seni persembahan teater.
2.1 Kekangan Sumber Pendapatan Tetap
Dalam
masyarakat tempatan satu pendapatan tetap amat diperlukan untuk meneruskan
hidup. Dalam hal ini, pendapatan tetap boleh diperoleh melalui bekerja bergaji
dan juga menjalankan perniagaan yang menguntungkan. Perkara ini sukar berlaku
dalam teater baharu kerana masih banyak lagi penggiat-penggiat teater baharu
yang masih tidak dapat membina nama dengan baik walaupun setelah melalui tempoh
yang agak lama - 10 tahun misalnya.
Mereka
masih tidak dapat menjadikan kerja yang berkaitan dengan seni teater seperti
berlakon, mereka set, mereka lampu, menulis skrip, mengarah teater dan mengarah
muzik sebagai satu kerjaya professional tetapi sebaliknya menjadikan teater
sebagai satu kerja sampingan sahaja. Namun begitu, tidak dinafikan ada kumpulan
teater tempatan yang berjaya menjadikan ini sebagai kerjaya dan perniagaan yang
menguntungkan. Mereka ialah Enfiniti Vision Media yang diketuai oleh penggiat
teater yang terkenal, Tiara Jacquelina, Rumah Anak Teater, Revolution Stage, CTRA
Production dan banyak lagi kumpulan teater berskala besar atau kecil yang
mempunyai kelebihan yang sama. Kumpulan penggiat teater yang kurang bernasib
baik pula tidak dapat meneruskan perjuangan mereka dan perkara ini berlaku atas
beberapa faktor.
Tanggungjawab
terhadap keluarga telah menjadi keutamaan kepada sebahagian penggiat teater
yang dahulunya sentiasa aktif berkarya. Tuntutan untuk mendapatkan pendapatan
tetap ialah satu bentuk tanggungjawab yang berat dan sebahagian daripada mereka
meninggalkan bidang ini dan beralih arah kepada bidang lain seperti mendapatkan
kerjaya bergaji atau menjalankan perniagaan lain. Masyarakat memandang teater
sebagai satu pekerjaan yang kurang menguntungkan kerana keadaan sumber
pendapatannya yang tidak menentu. Oleh itu, kumpulan pelakon teater banyak beralih
kepada bidang yang boleh memberikan pekerjaan yang lebih kerap sekaligus
memberikan mereka pendapatan yang berterusan seperti berlakon dalam drama tv
ataupun berlakon iklan. Ini untuk mengurangkan tekanan daripada tidak mendapat
sumber pendapatan tetap kepada mendapat sumber pendapatan yang kerap.
Kepada
kumpulan penggiat di belakang tabir pula mereka memilih untuk mengembangkan
kebolehan mereka dalam bentuk seni persembahan lain seperti menjadi pereka
lampu bagi persembahan konsert ataupun menjadi kumpulan teknikal dan rakaman
video komersial ataupun filem. Tidak kurang juga terlibat sebagai krew acara
dan persembahan. Ini ialah untuk mendapat sumber pendapatan yang lebih kerap. Hal
ini kerana, perkara ini lebih baik daripada tidak mempunyai pendapatan tetap. Namun
begitu, masih banyak yang memilih untuk tidak terlibat terus dalam seni teater.
2.2 Nilai Pasaran yang Tidak Menentu
Teater
mempunyai peminatnya tersendiri namun begitu perkara ini tidak cukup untuk
mengatakan bahawa teater mempunyai nilai pasaran yang stabil. Hal ini kerana,
terdapat banyak faktor pasaran yang boleh mempengaruhi jumlah penonton yang
hadir untuk menonton sesebuah persembahan. Antara faktor yang mempengaruhi
pasaran teater ialah pemilihan pelakon yang akan beraksi dalam persembahan. Pelakon
yang lebih popular pastinya boleh membawa jumlah penonton yang lebih banyak.
Mereka ini juga boleh menjadi satu faktor untuk produksi mengurangkan kos
produksi melalui tajaan yang akan diperoleh. Dengan ini, produksi dapat
memaksimumkan keuntungan dengan jumlah penonton yang lebih banyak.
Perkara
ini sukar berlaku bagi kumpulan teater yang baharu. Hal ini kerana, mereka
tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mendapatkan khidmat pelakon
popular. Namun begitu, ada beberapa produksi yang meminta bantuan pelakon
popular ini untuk berlakon dalam produksi mereka atas dasar mereka merupakan
rakan baik. Untuk produksi teater baharu ini biasanya mereka akan mendapat
nilai pasaran yang lebih tinggi dengan bantuan populariti pelakon.
Meletakkan
nama pengarah sebagai satu nilai pasaran bukanlah satu pilihan yang cukup kuat.
Pengarah yang bagus tidak cukup untuk menarik penonton yang lebih ramai
memandangkan penonton di Malaysia lebih ramai memilih untuk hadir atas faktor
figura popular yang akan beraksi di atas pentas. Pengaruh nama pengarah
diletakkan pada poster masih lagi dipersoalkan. Ada juga pengarah yang berjaya
membawa peminatnya tersendiri untuk melihat persembahan mereka namun strategi
ini masih kelihatan kurang berkesan berbanding meletakkan nama pelakon popular.
Kumpulan
penonton teater berbeza-beza mengikut kepada minat, genre, sosioekonomi dan
budaya masing-masing. Perkara ini dapat dilihat apabila satu persembahan teater
dijalankan. Sekiranya teater ini dijalankan dalam bahasa Melayu maka nilai
pasaran lebih cenderung kepada pelanggan Melayu dan ini juga berlaku kepada
teater-teater berbahasa lain di Malaysia. Nasib penggiat teater Inggeris adalah
lebih baik berbanding penggiat teater berbahasa Melayu. Hal ini kerana,
peminat-peminat teater sebegini kebanyakannya hadir daripada golongan yang
tinggal di bandar dan mempunyai kuasa membeli yang lebih baik. Penggiat teater
Inggeris biasanya lebih mudah mendapatkan keuntungan berbanding teater
berbahasa Melayu.
Selain
itu, pemilihan tarikh yang tepat juga amat diperlukan oleh sesebuah produksi
teater. Tarikh yang tidak sesuai akan menyebabkan pertindihan dengan teater
lain yang mempunyai penonton yang sama. Mengambil contoh, terdapat dua produksi
teater yang hubungan persahabatan yang baik. Mereka mempunyai penonton yang sama
sedang persembahan berjalan pada tarikh yang sama. Pertindihan ini menyebabkan
penonton tidak dapat menghadiri kesemua persembahan. Dalam beberapa keadaan
mereka biasanya akan memilih teater yang lebih sedikit nilai bayaran tiket
ataupun tahap keakraban penonton dengan penggiat teater itu.
Isu-isu
semasa seperti bencana alam dan juga politik juga perlu diambil perhatian oleh
produksi. Hal ini kerana, tumpuan masyarakat akan lebih kepada perkara-perkara
ini dan seterusnya menyebabkan kekurangan jumlah penonton untuk hadir ke
pementasan. Ada produksi yang mengambil langkah untuk menangguhkan persembahan
kepada tarikh lain dan ini untuk mengelakkan penyusutan jumlah keuntungan.
Namun begitu, ada juga produksi yang mengambil perkara-perkara ini sebagai satu
peluang untuk mendapatkan keuntungan. Isu-isu semasa ini akan dibincangkan
dalam persembahan dan dalam hal ini, memilih isu yang masih baharu sebagai satu
strategi pemasaran juga dilihat bijak tetapi pilihan masih pada penonton.
2.3 Naskhah yang Berkualiti
Naskhah
yang berkualiti akan memberi kepuasan menonton kepada penonton. Selain itu,
naskhah yang berkualiti juga mampu untuk membincangkan banyak perkara secara
berkesan dalam medium teater. Untuk menghasilkan skrip sebegini bukanlah satu
tugas yang mudah dan kepakaran yang ada pada seorang penulis skrip biasanya
diabaikan oleh kebanyakan kumpulan teater baharu di Malaysia. Hal ini berlaku
kerana, mereka tidak sedar akan betapa pentingnya satu skrip yang berkualiti
untuk dihidangkan kepada penonton tetapi sebaliknya lebih mementingkan
keuntungan semata-mata.
Jumlah
skrip berkualiti yang dihasilkan oleh penggiat-penggiat muda adalah terlalu
sedikit. Kebanyakan skrip lebih menumpukan kepada eksperimen idea penulis dan
juga perbincangan ketidakpuasan sesuatu perkara. Lebih menyedihkan apabila
dalam negara ini skrip-skrip drama berkaitan kekeluargaan yang tamakkan harta
dengan plot yang sama dipentaskan berulang-ulang kali cuma dengan produksi yang
berbeza. Plot drama atau naskhah yang biasa ini telah menyebabkan ramai orang
biasa yang tidak mengetahui tentang persembahan teater merasakan sudah ada satu
format tertentu skrip untuk persembahan teater dan seterusnya menyebabkan
mereka merasakan persembahan teater bukanlah satu seni persembahan yang
menarik.
Plot
penceritaan tentang anak derhaka dan merebut harta keluarga sehingga sanggup
membunuh atau menjual tanah keluarga telah menjadi satu plot penceritaan yang
basi kepada penggiat teater. Kunci utama pada jalan cerita sebegini ialah
memberikan nasihat. Dalam naskhah sebegini watak jahat yang kejam akan
diwujudkan. Mereka tidak takut kepada sebarang ancaman kecuali setelah mendapat
pengalaman yang mengerikan. Selain itu, watak-watak baik seperti ibu bapa perlu
ada dan mereka biasanya digambarkan berada dalam kehidupan susah. Keutamaan
pada naskhah sebegini ialah kejayaan naskhah untuk menyuntik sebanyak mungkin
elemen sedih, tangisan dan juga penonjolan tahap kekejaman satu watak jahat.
Watak baik akan diperlihatkan sebagai sebaik-baik manusia dan seolah-olah mereka
tidak mempunyai sebarang dosa. Watak ini nanti akan menjadi penasihat kepada
penonton pada pengakhiran cerita. Namun begitu, nasihat ini juga mungkin akan
dilakukan dengan hanya menggunakan suara latar semata-mata. Keadaan menjadi
lebih teruk apabila harta mereka mungkin dirampas oleh anak mereka. Jalan
cerita sebegini banyak dipersembahkan dalam drama-drama televisyen nasional dan
mungkin atas faktor penulis dan kumpulan produksi merasakan teater perlu
ditulis skripnya sebegini maka, skrip-skrip sebegini terus dipersembahkan.
Selain
itu, ada juga penggiat teater muda yang sukakan absurd dan juga surealisme akan
mementaskan jalan cerita seorang lelaki yang telah melakukan banyak dosa dan
kemudiannya menyesal dengan dosanya setelah menerima azab yang banyak dalam
mimpi ataupun dalam keadaan separa sedar. Penonton akan dihidangkan dengan
penyeksaan yang berterusan terhadap watak. Watak-watak akan melakonkan betapa
mereka menyesali perbuatan mereka sebelum ini seperti derhaka kepada keluarga,
mengambil rasuah ataupun mencuri. Untuk melambangkan kegelapan dunia ini, akan
diwujudkan watak-watak yang akan menyeksakan watak yang melakukan kesilapan itu
tadi. Ini juga menyebabkan naskhah penggiat teater baharu kurang berkesan
kerana menafikan tentang kepentingan mencipta dinamik naskhah. Dalam satu naskhah
setiap karektor perlu melalui ujian paling hebat dan pertarungan paling sukar (Hatcher,
1996). Ini merupakan antara elemen utama yang telah diabaikan oleh naskhah dengan
memberi penyeksaan kepada watak dalam kebanyakan adegan. Jalan cerita sebegini
sepatutnya dipersembahkan dengan gaya yang lebih menarik bukan sekadar
melakukan persembahan yang hanya difahami kepuasannya oleh penggiat itu sahaja.
Terdapat
satu lagi trend yang berlaku dalam mementaskan teater apabila penulis suka
untuk melakukan komedi di atas pentas tanpa memikirkan tentang plot penceritaan
secara lebih terpeinci. Komedi bukanlah satu kesalahan dalam persembahan teater
tetapi perkara yang pengkaji ingin rungkaikan di sini ialah tentang kecenderungan
penulis dan juga pelakon untuk melakukan aksi kelakar yang tidak berkaitan
dengan persembahan. Mereka merasakan dengan mendapat tepukan gemuruh dan gelak
yang kuat mereka telah berjaya mementaskan satu teater hebat. Perkara ini ialah
satu kesilapan kerana komedi secara asasnya untuk ketawa tetapi pemerhatian
khusus terhadap jalan cerita perlu diberikan perhatian juga. Sekiranya perkara
ini diabaikan, persembahan mereka akan kelihatan seperti persembahan yang
terlalu ‘bermain-main’. Dalam erti kata lain, persembahan mereka tidak
dilakukan secara betul tetapi lebih kepada ingin berseronok dan mendapatkan
sorakan penonton.
Kebiasaannya,
kumpulan produksi akan memilih naskhah yang pernah dipentaskan seperti
karya-karya Dinsman, A.Samad Said dan Usman Awang. Namun begitu, cabaran yang
perlu dihadapi oleh pengkarya-pengkarya ini juga melibatkan pengarahan naskhah
tersebut. Pengarah-pengarah baharu kurang mendapat pendedahan untuk membuat
satu bentuk pengarahan baharu tetapi sebaliknya hanya membuat arahan yang biasa
dan kurang menarik. Dalam hal ini, walaupun naskhah bagus telah dipilih tetapi
perkara lain seperti pengarahan pentas juga tidak boleh diabaikan.
Walaupun
masalah naskhah kurang berkualiti ini wujud namun begitu, masih ada kumpulan
produksi dan pengkarya yang boleh menghasilkan naskhah yang bagus. Mereka ialah
individu berbakat yang ada suntikan ilmu penulisan dalam menghasilkan karya
yang baik. Namun begitu, perkara ini masih tidak membanggakan kerana masih
terdapat banyak naskhah yang kurang berkualiti sekaligus menafikan naskhah yang
bagus untuk dianggap sebagai satu persembahan teater yang perlu ditonton.
2.4 Apresiasi Khalayak terhadap Teater
Apresiasi
seni khalayak di Malaysia masih kurang mendapat sambutan walaupun ada
peningkatan jumlah peminat seni persembahan tanah air. Masih banyak
penggiat-penggiat teater baharu yang perlu membuat perancangan yang teliti
sebelum menjalankan persembahan. Nilai apresiasi penonton atau khalayak ini
telah menjadikan nilai kualiti persembahan teater sukar untuk meningkat. Jumlah
keuntungan yang lebih banyak akan mendorong penggiat-penggiat teater yang bagus
untuk terus menghasilkan persembahan yang lebih baik pada masa hadapan. Sekiranya
nilai apresiasi penonton masih pada tahap yang kurang bagus maka, proses
pertambahan pengkarya yang bagus akan menjadi semakin lambat.
Promosi
teater juga kurang mendapat perhatian. Walaupun banyak terdapat medium
pemasaran seperti media sosial dan juga media cetak namun perkara ini masih
tidak dipandang sebagai satu perkara yang serius. Hanya beberapa pihak yang
mengambil perhatian kepada perkara ini. Kebanyakan wartawan dan editor lebih
suka untuk menyampaikan berita-berita yang boleh dijadikan satu berita menarik
untuk tajuk utama surat khabar dijual berbanding mempromosikan satu persembahan
teater. Kumpulan produksi baharu pastinya mempunyai kesukaran untuk mendapat
peluang untuk mempromosi karya mereka dalam media cetak dan mereka memilih
untuk mempromosikannya dalam media sosial.
Usaha-usaha
yang dijalankan oleh beberapa kumpulan penggiat teater baharu dengan melibatkan
diri dalam perniagaan lain telah membantu wujudnya penonton daripada kumpulan
sasar yang lain. Mengambil contoh, ada kumpulan penerbit teater baharu
mengambil pendekatan mengembangkan peminat mereka dengan menjalankan perniagaan
penerbitan buku fiksyen. Penonton-penonton yang meminati buku fiksyen akan
secara tidak langsung mempunyai rasa minat untuk menonton persembahan teater. Hal
ini kerana, penggiat teater ini akan menjual buku mereka dalam festival buku
dan dalam masa yang sama mempromosi teater baharu mereka. Walaupun bukan semua
yang akan hadir ke pementasan ini namun kesedaran pengguna terhadap persembahan
teater itu lebih penting. Ini telah menambah jumlah penonton baharu.
2.5 Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Tajaan
Kebanyakan
produksi akan mengalami masalah dalam mencari dana untuk mementaskan
persembahan teater. Namun begitu mereka perlu bijak dalam menyelesaikan masalah
ini kerana setiap perniagaan memerlukan satu keputusan yang bijak. Ibbotson (2008) menyatakan perniagaan ialah
satu kerja kreatif dan juga penghasilan sesuatu. Oleh itu, pengurusan kewangan
yang berkesan dalam produksi teater amat diperlukan. Ini merupakan satu
keputusan perniagaan yang memerlukan kemahiran dan juga tahap pengurusan yang
baik.
Biasanya,
penerbit teater baharu akan mengeluarkan duit simpanan sendiri untuk
menjalankan persembahan teater dan mengharapkan keuntungan untuk dibahagikan
sama rata kepada seluruh produksi. Jumlah ini bergantung kepada jumlah penonton
dan tiket yang berjaya dijual. Sekiranya, penerbit mengeluarkan terlalu banyak
modal, produksi akan mengalami masalah yang besar untuk mendapatkan keuntungan
yang lebih. Oleh itu, seorang penerbit teater perlu bijak dalam membuat
perbelanjaan supaya tidak rugi dalam membuat perniagaan. Kebanyakan penggiat
teater muda mempunyai masalah ini kerana mereka melihat kepada andaian
keutungan semata-mata tanpa memikirkan nilai risiko yang bakal mereka perolehi.
Kebijaksanaan
penggiat dalam mengeluarkan jumlah modal adalah sangat diperlukan. Hal ini
kerana, setiap jenis atau skala persembahan mempunyai nilai modal yang berbeza.
Untuk teater berskala kecil modal yang lebih kecil akan diperlukan dan
sebaliknya untuk teater yang berskala sederhana atau besar. Kesilapan dalam
membuat perancangan modal akan menyebabkan kerugian dalam produksi dan
pengurusan kewangan amat diperlukan oleh sesebuah produksi.
Kebanyakan
produksi teater baharu tidak akan mempunyai pejabat sendiri kerana mereka
melakukan persembahan berdasarkan kepada projek bukannya keuntungan setiap
bulan. Jumlah projek pementasan yang tidak banyak seperti dua persembahan dalam
masa setahun telah menghadkan kewangan produksi untuk membayar sewa pejabat.
Mereka lebih suka berbincang di kedai makan ataupun melalui panggilan telefon
berbanding mempunyai pejabat sendiri. Ada juga kumpulan yang kebanyakan ahlinya
mendiami rumah yang sama. Di rumah inilah mereka akan berbincang tentang projek
pementasan terbaharu mereka.
Kebanyakan
penggiat teater baharu perlu menjalankan persembahan yang akan melibatkan kos
yang lebih sedikit. Ini akan membantu produksi untuk mengelakkan risiko
kerugian yang lebih besar. Biasanya, mereka tidak melihat kepada keuntungan
yang banyak tetapi sebaliknya lebih suka untuk membuat kajian terhadap jumlah
penonton yang akan hadir ke pementasan mereka nanti. Pada waktu ini, penerbit
akan menjalankan banyak tugas untuk mengurangkan kos produksi. Perkara ini
memang agak sukar untuk dilakukan tetapi mereka perlu melakukannya untuk
menjimatkan kos dan mengelakkan kerugian yang lebih.
Perbelanjaan
sampingan seperti makan dan perbelanjaan untuk membuat panggilan akan
ditanggung oleh ahli produksi sendiri. Sekiranya penerbit atau ketua kumpulan
mempunyai lebihan kewangan maka pihak produksi akan mendapat banyak kelebihan
seperti bantuan makanan dan juga panggilan. Penggiat teater baharu menjalankan
teater bukan semata-mata mahukan keuntungan tetapi keutamaan mereka ialah untuk
menjadikan persembahan mereka ditonton oleh umum.
Salah
satu cara yang terbaik untuk mengurangkan kos produksi ialah dengan mendapatkan
tajaan. Kebanyakan kos produksi akan dapat dikurangkan dan sekiranya pihak
produksi bijak dalam mencari sasaran penaja yang berpotensi, mereka akan lebih
mudah menjalankan persembahan mereka. Lebihan tajaan boleh digunakan untuk
meningkatkan gaji ahli produksi dan juga dapat menambahbaik mutu persembahan
dari pelbagai aspek. Namun begitu, untuk mendapatkan tajaan bukanlah satu
tugasan mudah. Richardson menyatakan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian
semasa mendapatkan tajaan.
Penaja bersetuju untuk menaja
kerana mereka mengharapkan pulangan kepada pelaburan mereka, mereka meminati
teater, merasakan mereka beruntung, atau percaya pada penilaian penerbit atau
pengurusan dengan rekod yang baik.
(Richardson,
1998, 6)
Ciri-ciri
yang dinyatakan oleh Richardson ini boleh menjadi satu rujukan untuk penggiat
teater baharu mencari tajaan. Di Malaysia tajaan boleh diperoleh daripada
bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, syarikat ataupun individu. Namun begitu,
untuk mendapatkan tajaan bukanlah satu kerja yang mudah kerana masih banyak
syarikat atau badan kerajaan melihat seni persembahan teater sebagai satu ruang
promosi yang kurang berkesan. Kos produksi teater yang besar juga menyebabkan
banyak syarikat akan bertindak untuk tidak menaja persembahan. Kesannya,
penggiat-penggiat teater di Malaysia memilih untuk hanya menggunakan duit
sendiri.
Dalam
beberapa keadaan, pihak produksi terpaksa mengabaikan keutamaan aspek
persembahan apabila mendapat tajaan. Syarikat yang menaja persembahan akan
meminta produksi untuk meletakkan logo atau menyebut nama syarikat mereka dalam
persembahan. Ini merupakan satu bentuk promosi yang diinginkan oleh syarikat
penaja. Dalam situasi tertentu, syarikat penaja tidak meletakkan syarat ini
tetapi sebaliknya produksi yang berminat untuk melakukannya. Kesan daripada
penonjolan tajaan ini telah sedikit sebanyak mengganggu persembahan. Hal ini
kerana, sekiranya susun atur tajaan tidak dibuat dengan sempurna maka akan
mencacatkan beberapa bahagian dalam persembahan dan seterusnya mengabaikan
elemen estetik dalam persembahan. Namun begitu, pengkarya tidak mempunyai
pilihan sebagai balasan kepada tajaan yang ditawarkan. Walaupun begitu,
keutamaan kepada persembahan juga perlu diambil perhatian. Oleh itu,
kebijaksanaan pereka atau pengarah persembahan supaya kewujudan penonjolan
keterlaluan tajaan tidak wujud dalam persembahan.
3.0 Kesimpulan
Persembahan
teater dalam negara telah meningkat dari setahun ke setahun dengan peningkatan
jumlah pementasan teater. Ini merupakan satu perkara positif terhadap seni
persembahan teater dalam negara. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh
penggiat-penggiat teater baharu telah menyebabkan perkembangan teater di
Malaysia tidak bergerak lebih pantas. Usaha daripada pelbagai pihak amat
diperlukan dalam memberi sokongan kepada penggiat muda supaya terus berkarya
dan akan meneruskan jumlah peningkatan karya-karya yang lebih berkualiti dan
juga penonton yang lebih ramai pada masa hadapan.
Diharap
penggiat-penggiat baharu yang ingin mencuba bidang ini supaya bijak dalam
mengatur strategi supaya tidak gagal dalam menghasilkan karya yang bagus. Hal
ini kerana, teater ialah satu seni yang penting dan mempunyai peranan yang perlu
diambil perhatian dalam sesebuah negara. Perkara ini disokong oleh pernyataan
Mohammed Saleeh Rahamad dan Rozlan
Mohamed Noor dengan menyatakan bahawa teater mempunyai nilai dalam
persembahannya untuk membantu dalam peningkatan intelektual sesebuah bangsa.
Teater, sebagaimana tradisi kebudayaan
besar, merupakan satu daripada wadah yang memancarkan ketinggian pemikiran,
intelektual, serta seni estetika sesuatu bangsa.
(Rahamad dan
Mohamed Noor, 2014, 223)
Merujuk
kepada pernyatan tersebut jelas bahawa sesebuah bangsa memerlukan satu cara untuk
meningkatkan tahap pemikiran dan teater merupakan salah satu medium yang
sesuai. Oleh itu, semakin banyak penggiat teater baharu bertambah dalam negara
atas kesedaran ini dan untuk mencapai matlamat ini graduan teater perlu mahir
dalam membawa ilmu dan pengalaman yang diperoleh semasa belajar dahulu supaya
dapat diaplikasi dengan bijak. Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan
nasihat dan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman. Ini sangat
penting supaya seni teater dalam negara terus subur dan akan menjadi satu seni
persembahan yang menarik untuk ditonton kerana seni teater bukanlah seni
hiburan semata-mata.
Bibliografi
Hatcher, J. (1996). The Art & Craft Of Playwriting. Cincinnati, Ohio: Story Press.
Ibbotson, P. (2008). The Illusion of Leadership. England: Palgrave Macmillan.
Mohamad Nazri Ahmad.,
(2000). Seni Persembahan Drama Melayu
Moden. Bangi: Penerbit
Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Pine, B. and Gilmore,
J. (1999). The Experience Economy.
St. Paul, Minn.: HighBridge Co.
Rahamad, M. and Mohamed Noor, R. (2014). Sastera Teras Negara Bangsa. Kuala
Lumpur:
Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia.
Richardson, J. (1998). Careers in the Theatre. London: Kogan Page.
No comments:
Post a Comment