Post Page Advertisement [Top]

Teater Muzikal Uda dan Dara
1.0 Uda dan Dara

Uda dan Dara ialah satu karya agung seniman negara,allahyarham Dato’ Usman Awang. Karya yang menarik ini diarahkan oleh Dato’ Rahim Razali. Beliau pernah mementaskan drama ini pada tahun 1972 dan menjadi karya beliau yang paling diingati. Uda dan Dara mengisahkan tentang kehidupan seorang lelaki desa bernama Uda yang begitu cintakan Dara, seorang gadis yang berasal dari keluarga berada sehingga sanggup ke kota untuk mencari sumber kewangan untuk memikat hati ibu dara yang materialistik. Keadaan ini telah menyebabkan Uda tidak mengetahui akan keadaan kampungnya dalam tempoh yang agak lama. Alang Bakhil telah menindas penduduk kampung dengan membantu membeli tanah jualan penduduk kampung yang tidak mempunyai wang yang mencukupi dan keadaan menjadi semakin genting apabila Utih datang dan menghalang niat Alang Bakhil untuk memusnahkan tanaman penduduk kampung.

Dara telah dijanjikan untuk dikahwinkan dengan keluarga Alang Bakhil oleh ibunya dan kepulangan Uda ke kampung telah menyebabkan Uda tidak selesa dan berusaha untuk mengahwini Dara. Keadaan menjadi tidak menentu apabila anak-anak buah Alang Bakhil mula mengganggu Uda sehingga berlaku pertempuran yang mengakibatkan kematian Uda. 2.0

Produksi Tenaga produksi “Uda dan Dara” telah melakukan kerja dengan baik dan berkesan. Walaupun kebanyakan daripada mereka ialah pelajar institusi pengajian tinggi namun, kerja-kerja mereka kelihatan teratur dan berjalan dengan baik seperti kerja-kerja mereka yang professional.

Walaupun begitu, produksi ini tidak menjual muka surat kepada syarikat-syarikat koporat. Hal ini dapat dilihat pada buku program apabila tidak terdapat ruang jualan tajaan muka surat.
Mungkin bantuan dari pihak Istana Budaya dan juga kerajaan telah meringankan beban produksi ini tetapi sebagai satu karya agung agak rugi apabila syarikat-syarikat dalam negara tidak membantu mereka. Hal ini jelas menjejaskan nilai keuntungan kerana tidak terdapat banyak tajaan yang mampu menjimatkan ongkos syarikat UA Enterproses Sdn Bhd.

Namun begitu, tidak terdapat masalah besar ketika berusan dengan produksi kali ini kerana mereka mudah didampingi dan sering membantu. Pada pandangan saya produksi UA Enterprises telah melakukan yang terbaik dalam mengangkat karya ini ke pentas bertaraf dunia seperti Istana Budaya.


3.0 Tenaga Kreatif
Uda dan Dara telah dibantu dan diserikan oleh tenaga kreatif yang hebat dan ternama dalam dunia teater. Nama-nama seperti Dato’ Rahim Razali, Hamzah Tahir, Hafiz Askiak, Zanida Malik, dan Nur Afifi sememangnya sinonim dan berpengalaman dalam dunia teater. Mereka mempunyai nilai kerja yang bermutu untuk dipersembahkan kepada penonton. Penonton pastinya tidak rugi untuk membayar tiket pementasan teater ini kerana, kerja-kerja kreatif yang dihasilkan oleh mereka tidak mengecewakan. 3.1 Pengarahan dan Lakonan Dari aspek pengarahan, Dato’ Rahim telah memanfaatkan keluasan dan teknologi pentas dan juga kemampuan pelakon dalam hasil kerjanya. Tidak terdapat terlalu banyak lompang-lompang yang memperlihatkan arahannya sebagai satu karya yang bosan tetapi telah disusun dengan rapi dan dikemaskan oleh gaya pengarahan teater yang menarik. Dato’ juga berjaya membentuk watak Uda dengan sangat baik. Uda telah dapat dilihat sebagai lelaki melayu yang gagah, berbudi bahasa dan mempunyai nilai semangat yang kuat dalam dirinya. Kesederhanaannya sebagai orang desa kelihat dengan jelas samada dari pengucapan atau gaya geraknya.

Namun begitu, berlaku sedikit kelemahan apabila watak Dara kelihatan sedikit terganggu. Misha Omar kelihatan terlalu kasar sebagai seorang gadis melayu. Dia kelihatan terlalu aktif di pentas dan juga tidak kelihatan sebagai gadis yang telah lama bercinta dengan Uda. Gaya pembawaannya juga tidak menarik. Mungkin Dato’ menginginkan wataknya sebegini dan menyamakan watak Dara sebagai gadis berada kini yang kelihatan lasak dan aktif.

Di samping itu, persoalan terjadi apabila watak Pak Usman iaitu seorang pemain biola yang kelihatan sedikit tidak menjadi. Dengan gaya lakonan yang tidak meyakinkan dan hanya bergantung kepada permainan biola, itu tidak cukup kerana watak ini perlu lebih dihayati dan memberi kesan kepada penonton kerana watak ini membawa sajak agung “Gadis di Pusara”.


3.2 Sinografi
Dari aspek sinografi, Hamzah Tahir telah menunjukkan kepada penonton satu karya seni yang amat menarik dan berkesan. Rekaan set, warna, pencahayaan pentas dan juga kostum kelihatan senada dan sesuai dengan latar cerita yang mana perkara-perkara seperti ini perlu diberi perhatian dan dicontohi oleh penggiat-penggiat teater masakini. Saya amat tertarik akan cara penggunaan set di atas pentas. Set-set dalam teater ini telah direka dengan sangat baik dan berkesan.

Selain itu, teknik set pelbagai guna yang sering diguna dalam teater moden kini juga digunakan oleh beliau. Beliau menggunakan realism suggestion yang mana teknik ini sering digunakan dalam teater berskala kecil.

Namun begitu, beliau menggunakannya dalam memetakan karyanya kepada penonton dalam pentas berskala besar- Istana Budaya. Pada saya perkara ini kelihatan bagus tetapi berkesan di samping mampu menjimatkan kos dalam teater ini.

Walaupun rekaannya kelihatan ringkas tetapi, rekaan ringkas beliau ini telah diadun dengan kemas dan sangat menjadi. Hal ini menjadikan segala kerja sinografi beliau kelihatan amat tinggi nilai seninya. Setiap babak kelihatan bermakna dan beliau ternyata berjaya dalam menghasilkan karya seni yang menarik dari aspek sinografi.

Rekaan set yang menarik dan juga penggunaan teknologi pentas Istana Budaya telah menjadikan set untuk teater ini sangat menjadi. Untuk setiap babak, stage lift telah dijadikan set dan menyatakan keadaan set itu sendiri. Misalnya, untuk melambangkan rumah Dara, tiga stage lift telah digunakan dan sememangnya menampakkan set rumah Dara sebagai rumah orang yang berada. Rekaan pokok-pokoknya juga baik dan mampu memberikan nafas rasa pada suasana kampung.

Rekaan tatacahaya yang menggunakan warna yang sesuai telah memberikan lagi nilai menarik kepada teater ini. Jai telah menjalankan tugasnya dengan baik. Dengan mengelakkan sebarang unsur muzikal moden seperti pergerakan gobo dan membentuk imej pencahayaan secara pegun kepada penonton telah memberikan jalan selamat kepada beliau.

Rekaannya juga tidak kelihatan kosong apabila terdapatnya gobo-gobo yang menjadikan imej sama ada pelakon ataupun set supaya kelihatan lebih berbentuk tiga dimensi. Ternyata pengalaman Jai telah membantunya membuat kerja yang bagus.

Rekaan busana oleh Nur Afifi ialah busana yang bagus dan memberikan penonton satu rasa selesa. Rekaannya yang mampu membezakan setiap watak dari aspek darjat, nilai dan juga budaya telah memperlihatkan kreativiti beliau dalam berkarya.

Selain menggunakan warna yang sesuai, beliau juga memperlihatkan kepada penonton bahawa setiap watak mempunyai cara pemakaiannya sendiri. Beliau telah menjalankan kerja dengan sangat teliti. Kita dapat melihatnya apabila kita dapat membezakan darjat keluarga Uda yang miskin dan Dara yang berasal dari keluarga kaya.

Perbezaan pakaian watak Uda dari pakaian orang miskin ke pakaian orang yang berduit jelas memperlihatkan diri sebenar Uda. Hanya sedikit perubahan dilakukan oleh beliau dalam membezakan status ekonomi Uda pada waktu Uda berduit. Hal ini pada pandangan saya, Nur Afifi sengaja lakukan supaya kita dapat melihat betapa kuatnya watak Uda terhadap budaya dan asal-usulnya. Hanya berubah sedikit tetapi bukan segalanya.

Sememangnya, karya muzik amat penting dalam naskhah muzikal kerana jika muzik gagal maka rosaklah karya muzikal itu. Tetapi, gubahan muzik oleh Hafiz Askiak juga baik. Muzik-muzik yang digunakan oleh beliau sememangnya sedap untuk didengari oleh halwa telinga penonton. Tidak bingit dan sesuai untuk digunakan dalam teater ini. Saya rasa terhibur apabila mendengar lagu-lagu gubahan beliau dan ini membantu cerita ini bergerak dengan lebih baik.

Kareografi yang menarik telah direka oleh Zanida Malik. Pengalaman beliau dalam menghasilkan kareografi untuk tarian tradisional amat sesuai dengan jiwa karya Uda dan Dara. Kareografinya memperlihatkan kepada kita bahawa semua perkara telah berlaku mengikut jalan cerita. Ternyata kareografi beliau tidak kosong dan memperlihatkan nilai-nilai menarik apabila berjaya mencipta tarian dan gerakan yang sesuai dalam cerita ini. 4.0 Kesimpulan Untuk mengangkat karya agung ke pentas sememangnya sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi sekiranya penulisnya telah meninggal dunia seperti situasi yang dialami oleh Muzikal Uda dan Dara ini. Tidak banyak perkara yang dapat dikorek dari fikiran penulis.

Namun begitu, Dato’ Rahim yang pernah mementaskan naskhah ini semestinya mempunyai perbincangan dengan penulis sebelum penulis meninggal dunia dan pengalaman ini telah beliau guna dalam memberi adunan menarik dalam teater ini. Teater ini juga dibantu oleh tenaga kreatif yang berpengalaman dan berbakat besar. Mereka telah menambah adunan dan nilai kesedapan naskhah ini sehinggakan naskhah ini kelihatan amat bermakna. Selain dari aspek itu, lakonan dan juga tidak mengecewakan di samping pihak pengurusan yang telah menjalankan tugasan dengan baik.

Karya-karya agung sebegini sepatutnya lebih diberi perhatian kerana amat rugi dan menyedihkan sekiranya karya hebat seperti ini tidak dihargai oleh genarasi kini kerana takut satu hari nanti kita terlalu disogok oleh karya artistik luar.

















No comments: