Post Page Advertisement [Top]


CABARAN PENGGIAT TEATER BAHARU DI MALAYSIA
oleh
Abdul Walid bin Ali
abdulwalidali@gmail.com
017 – 642 9908


Abstrak
Seni teater di Malaysia merupakan seni persembahan yang mempunyai peminat yang ramai dalam negara. Banyak pengkarya seni teater telah menjadikan seni teater sebagai kerjaya professional dan tidak kurang juga yang meninggalkan seni ini atas pelbagai faktor. Pertambahan institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus teater telah menyebabkan pertambahan penggiat seni teater baharu dalam negara. Mereka ini yang akan menjadi pelapis kepada penggiat-penggiat seni teater yang terdahulu dan mereka pastinya mempunyai kelebihan memandangkan mereka telah mendapat pendidikan secara formal dan dengan ilmu yang mereka ada, mereka boleh meningkatkan kualiti persembahan teater. Namun begitu, masih banyak yang tidak dapat bertahan dalam dunia teater. Kebanyakannya telah meninggalkan dunia teater atas faktor ekonomi, tanggungjawab, kesukaran pemasaran dan juga apresiasi seni khalayak Malaysia. Dalam menghasilkan teater, pelbagai cabaran perlu dilalui oleh penggiat teater baharu. Dalam kajian ini, pengkaji akan memfokuskan kepada cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh penggiat-penggiat teater baharu dalam negara. Kajian ini lebih memfokuskan kepada seni persembahan teater di sekitar Kuala Lumpur dan juga kumpulan teater baharu yang mementaskan teater yang berskala kecil.












1.0       Pengenalan

Teater merupakan satu seni persembahan yang melibatkan persembahan langsung antara pelaku dan juga penonton. Teater boleh dianggap sebagai satu seni persembahan yang telah lama wujud dan diminati oleh pelbagai jenis khalayak dengan pelbagai taraf ekonomi dan budaya. Walaupun teater mendapat persaingan terhadap seni filem namun nilai yang ada pada seni persembahan teater menyebabkan seni ini masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Teater juga mempunyai pelbagai genre yang akan ditonton oleh pelbagai kumpulan khalayak berdasarkan minat yang berbeza-beza. Ini menjadikan kepelbagaian genre dan penonton wujud dalam teater. Di Malaysia perkembangan teater bermula daripada persembahan teater tradisional seperti Wayang Kulit, Makyong, Mek Mulong dan Menora, dan seterusnya berkembang kepada pementasan teater moden. Perkara ini berlaku akibat daripada penerimaan budaya lain dalam masyarakat.

Pertambahan penggiat seni teater setiap tahun telah menyebabkan jumlah penonton teater bertambah dari semasa ke semasa. Mereka merupakan golongan pelajar institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus ini seperti Universiti Malaya,Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan banyak lagi. Golongan ini juga terdiri daripada kumpulan peminat teater yang datang atas faktor minat kepada seni persembahan teater dan tidak kurang juga hadir ke persembahan semata-mata untuk melihat figura popular yang mereka minat.

Terdapat dua golongan penggiat teater dalam negara ini. Satu golongan yang mahukan keuntungan hasil daripada menjalankan persembahan dan satu golongan lagi terdiri daripada mereka yang hanya mahukan keseronokan dan kepuasan dalam berkarya. Namun begitu, dalam beberapa keadaan kedua-dua golongan boleh bergabung untuk kepentingan masing-masing iaitu satu pihak mahukan kepuasan berkarya manakala satu pihak lagi mahukan keuntungan. Mereka inilah penggiat-penggiat teater yang akan terus menjadikan persembahan teater relevan dalam negara.

            Kumpulan penggiat teater baharu ini perlu melalui kesukaran dalam mempromosikan karya mereka dan juga menghasilkan karya-karya yang berkualiti. Mereka masih baharu dan perlukan bimbingan daripada banyak pihak yang lebih berpengalaman.



2.0       Cabaran Penggiat Teater Baharu Malaysia
Berbicara tentang penggiat-penggiat teater dalam negara, terdapat juga kumpulan penggiat teater baharu yang inginkan ruang dalam berkarya. Mereka mahukan karya mereka ditonton dan dapat menghiburkan penonton yang hadir. Kebanyakan penggiat teater baharu yang terdiri daripada graduan seni persembahan dan juga peminat seni teater telah berusaha mencarikan sesuatu yang baru untuk tontonan penonton mereka. Mereka mempunyai banyak cabaran dalam menghasilkan karya dan cabaran-cabaran ini mereka perlu lalui dan hadapi secara bijak supaya mereka semua akan terus relevan dalam dunia seni persembahan teater.


2.1       Kekangan Sumber Pendapatan Tetap

Dalam masyarakat tempatan satu pendapatan tetap amat diperlukan untuk meneruskan hidup. Dalam hal ini, pendapatan tetap boleh diperoleh melalui bekerja bergaji dan juga menjalankan perniagaan yang menguntungkan. Perkara ini sukar berlaku dalam teater baharu kerana masih banyak lagi penggiat-penggiat teater baharu yang masih tidak dapat membina nama dengan baik walaupun setelah melalui tempoh yang agak lama - 10 tahun misalnya.

Mereka masih tidak dapat menjadikan kerja yang berkaitan dengan seni teater seperti berlakon, mereka set, mereka lampu, menulis skrip, mengarah teater dan mengarah muzik sebagai satu kerjaya professional tetapi sebaliknya menjadikan teater sebagai satu kerja sampingan sahaja. Namun begitu, tidak dinafikan ada kumpulan teater tempatan yang berjaya menjadikan ini sebagai kerjaya dan perniagaan yang menguntungkan. Mereka ialah Enfiniti Vision Media yang diketuai oleh penggiat teater yang terkenal, Tiara Jacquelina, Rumah Anak Teater, Revolution Stage, CTRA Production dan banyak lagi kumpulan teater berskala besar atau kecil yang mempunyai kelebihan yang sama. Kumpulan penggiat teater yang kurang bernasib baik pula tidak dapat meneruskan perjuangan mereka dan perkara ini berlaku atas beberapa faktor.

Tanggungjawab terhadap keluarga telah menjadi keutamaan kepada sebahagian penggiat teater yang dahulunya sentiasa aktif berkarya. Tuntutan untuk mendapatkan pendapatan tetap ialah satu bentuk tanggungjawab yang berat dan sebahagian daripada mereka meninggalkan bidang ini dan beralih arah kepada bidang lain seperti mendapatkan kerjaya bergaji atau menjalankan perniagaan lain. Masyarakat memandang teater sebagai satu pekerjaan yang kurang menguntungkan kerana keadaan sumber pendapatannya yang tidak menentu. Oleh itu, kumpulan pelakon teater banyak beralih kepada bidang yang boleh memberikan pekerjaan yang lebih kerap sekaligus memberikan mereka pendapatan yang berterusan seperti berlakon dalam drama tv ataupun berlakon iklan. Ini untuk mengurangkan tekanan daripada tidak mendapat sumber pendapatan tetap kepada mendapat sumber pendapatan yang kerap.

Kepada kumpulan penggiat di belakang tabir pula mereka memilih untuk mengembangkan kebolehan mereka dalam bentuk seni persembahan lain seperti menjadi pereka lampu bagi persembahan konsert ataupun menjadi kumpulan teknikal dan rakaman video komersial ataupun filem. Tidak kurang juga terlibat sebagai krew acara dan persembahan. Ini ialah untuk mendapat sumber pendapatan yang lebih kerap. Hal ini kerana, perkara ini lebih baik daripada tidak mempunyai pendapatan tetap. Namun begitu, masih banyak yang memilih untuk tidak terlibat terus dalam seni teater.


2.2       Nilai Pasaran yang Tidak Menentu

Teater mempunyai peminatnya tersendiri namun begitu perkara ini tidak cukup untuk mengatakan bahawa teater mempunyai nilai pasaran yang stabil. Hal ini kerana, terdapat banyak faktor pasaran yang boleh mempengaruhi jumlah penonton yang hadir untuk menonton sesebuah persembahan. Antara faktor yang mempengaruhi pasaran teater ialah pemilihan pelakon yang akan beraksi dalam persembahan. Pelakon yang lebih popular pastinya boleh membawa jumlah penonton yang lebih banyak. Mereka ini juga boleh menjadi satu faktor untuk produksi mengurangkan kos produksi melalui tajaan yang akan diperoleh. Dengan ini, produksi dapat memaksimumkan keuntungan dengan jumlah penonton yang lebih banyak.

Perkara ini sukar berlaku bagi kumpulan teater yang baharu. Hal ini kerana, mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mendapatkan khidmat pelakon popular. Namun begitu, ada beberapa produksi yang meminta bantuan pelakon popular ini untuk berlakon dalam produksi mereka atas dasar mereka merupakan rakan baik. Untuk produksi teater baharu ini biasanya mereka akan mendapat nilai pasaran yang lebih tinggi dengan bantuan populariti pelakon.

Meletakkan nama pengarah sebagai satu nilai pasaran bukanlah satu pilihan yang cukup kuat. Pengarah yang bagus tidak cukup untuk menarik penonton yang lebih ramai memandangkan penonton di Malaysia lebih ramai memilih untuk hadir atas faktor figura popular yang akan beraksi di atas pentas. Pengaruh nama pengarah diletakkan pada poster masih lagi dipersoalkan. Ada juga pengarah yang berjaya membawa peminatnya tersendiri untuk melihat persembahan mereka namun strategi ini masih kelihatan kurang berkesan berbanding meletakkan nama pelakon popular.

Kumpulan penonton teater berbeza-beza mengikut kepada minat, genre, sosioekonomi dan budaya masing-masing. Perkara ini dapat dilihat apabila satu persembahan teater dijalankan. Sekiranya teater ini dijalankan dalam bahasa Melayu maka nilai pasaran lebih cenderung kepada pelanggan Melayu dan ini juga berlaku kepada teater-teater berbahasa lain di Malaysia. Nasib penggiat teater Inggeris adalah lebih baik berbanding penggiat teater berbahasa Melayu. Hal ini kerana, peminat-peminat teater sebegini kebanyakannya hadir daripada golongan yang tinggal di bandar dan mempunyai kuasa membeli yang lebih baik. Penggiat teater Inggeris biasanya lebih mudah mendapatkan keuntungan berbanding teater berbahasa Melayu.

Selain itu, pemilihan tarikh yang tepat juga amat diperlukan oleh sesebuah produksi teater. Tarikh yang tidak sesuai akan menyebabkan pertindihan dengan teater lain yang mempunyai penonton yang sama. Mengambil contoh, terdapat dua produksi teater yang hubungan persahabatan yang baik. Mereka mempunyai penonton yang sama sedang persembahan berjalan pada tarikh yang sama. Pertindihan ini menyebabkan penonton tidak dapat menghadiri kesemua persembahan. Dalam beberapa keadaan mereka biasanya akan memilih teater yang lebih sedikit nilai bayaran tiket ataupun tahap keakraban penonton dengan penggiat teater itu.

Isu-isu semasa seperti bencana alam dan juga politik juga perlu diambil perhatian oleh produksi. Hal ini kerana, tumpuan masyarakat akan lebih kepada perkara-perkara ini dan seterusnya menyebabkan kekurangan jumlah penonton untuk hadir ke pementasan. Ada produksi yang mengambil langkah untuk menangguhkan persembahan kepada tarikh lain dan ini untuk mengelakkan penyusutan jumlah keuntungan. Namun begitu, ada juga produksi yang mengambil perkara-perkara ini sebagai satu peluang untuk mendapatkan keuntungan. Isu-isu semasa ini akan dibincangkan dalam persembahan dan dalam hal ini, memilih isu yang masih baharu sebagai satu strategi pemasaran juga dilihat bijak tetapi pilihan masih pada penonton.


2.3       Naskhah yang Berkualiti

Naskhah yang berkualiti akan memberi kepuasan menonton kepada penonton. Selain itu, naskhah yang berkualiti juga mampu untuk membincangkan banyak perkara secara berkesan dalam medium teater. Untuk menghasilkan skrip sebegini bukanlah satu tugas yang mudah dan kepakaran yang ada pada seorang penulis skrip biasanya diabaikan oleh kebanyakan kumpulan teater baharu di Malaysia. Hal ini berlaku kerana, mereka tidak sedar akan betapa pentingnya satu skrip yang berkualiti untuk dihidangkan kepada penonton tetapi sebaliknya lebih mementingkan keuntungan semata-mata.

Jumlah skrip berkualiti yang dihasilkan oleh penggiat-penggiat muda adalah terlalu sedikit. Kebanyakan skrip lebih menumpukan kepada eksperimen idea penulis dan juga perbincangan ketidakpuasan sesuatu perkara. Lebih menyedihkan apabila dalam negara ini skrip-skrip drama berkaitan kekeluargaan yang tamakkan harta dengan plot yang sama dipentaskan berulang-ulang kali cuma dengan produksi yang berbeza. Plot drama atau naskhah yang biasa ini telah menyebabkan ramai orang biasa yang tidak mengetahui tentang persembahan teater merasakan sudah ada satu format tertentu skrip untuk persembahan teater dan seterusnya menyebabkan mereka merasakan persembahan teater bukanlah satu seni persembahan yang menarik.

Plot penceritaan tentang anak derhaka dan merebut harta keluarga sehingga sanggup membunuh atau menjual tanah keluarga telah menjadi satu plot penceritaan yang basi kepada penggiat teater. Kunci utama pada jalan cerita sebegini ialah memberikan nasihat. Dalam naskhah sebegini watak jahat yang kejam akan diwujudkan. Mereka tidak takut kepada sebarang ancaman kecuali setelah mendapat pengalaman yang mengerikan. Selain itu, watak-watak baik seperti ibu bapa perlu ada dan mereka biasanya digambarkan berada dalam kehidupan susah. Keutamaan pada naskhah sebegini ialah kejayaan naskhah untuk menyuntik sebanyak mungkin elemen sedih, tangisan dan juga penonjolan tahap kekejaman satu watak jahat. Watak baik akan diperlihatkan sebagai sebaik-baik manusia dan seolah-olah mereka tidak mempunyai sebarang dosa. Watak ini nanti akan menjadi penasihat kepada penonton pada pengakhiran cerita. Namun begitu, nasihat ini juga mungkin akan dilakukan dengan hanya menggunakan suara latar semata-mata. Keadaan menjadi lebih teruk apabila harta mereka mungkin dirampas oleh anak mereka. Jalan cerita sebegini banyak dipersembahkan dalam drama-drama televisyen nasional dan mungkin atas faktor penulis dan kumpulan produksi merasakan teater perlu ditulis skripnya sebegini maka, skrip-skrip sebegini terus dipersembahkan.

Selain itu, ada juga penggiat teater muda yang sukakan absurd dan juga surealisme akan mementaskan jalan cerita seorang lelaki yang telah melakukan banyak dosa dan kemudiannya menyesal dengan dosanya setelah menerima azab yang banyak dalam mimpi ataupun dalam keadaan separa sedar. Penonton akan dihidangkan dengan penyeksaan yang berterusan terhadap watak. Watak-watak akan melakonkan betapa mereka menyesali perbuatan mereka sebelum ini seperti derhaka kepada keluarga, mengambil rasuah ataupun mencuri. Untuk melambangkan kegelapan dunia ini, akan diwujudkan watak-watak yang akan menyeksakan watak yang melakukan kesilapan itu tadi. Ini juga menyebabkan naskhah penggiat teater baharu kurang berkesan kerana menafikan tentang kepentingan mencipta dinamik naskhah. Dalam satu naskhah setiap karektor perlu melalui ujian paling hebat dan pertarungan paling sukar (Hatcher, 1996). Ini merupakan antara elemen utama yang telah diabaikan oleh naskhah dengan memberi penyeksaan kepada watak dalam kebanyakan adegan. Jalan cerita sebegini sepatutnya dipersembahkan dengan gaya yang lebih menarik bukan sekadar melakukan persembahan yang hanya difahami kepuasannya oleh penggiat itu sahaja.

Terdapat satu lagi trend yang berlaku dalam mementaskan teater apabila penulis suka untuk melakukan komedi di atas pentas tanpa memikirkan tentang plot penceritaan secara lebih terpeinci. Komedi bukanlah satu kesalahan dalam persembahan teater tetapi perkara yang pengkaji ingin rungkaikan di sini ialah tentang kecenderungan penulis dan juga pelakon untuk melakukan aksi kelakar yang tidak berkaitan dengan persembahan. Mereka merasakan dengan mendapat tepukan gemuruh dan gelak yang kuat mereka telah berjaya mementaskan satu teater hebat. Perkara ini ialah satu kesilapan kerana komedi secara asasnya untuk ketawa tetapi pemerhatian khusus terhadap jalan cerita perlu diberikan perhatian juga. Sekiranya perkara ini diabaikan, persembahan mereka akan kelihatan seperti persembahan yang terlalu ‘bermain-main’. Dalam erti kata lain, persembahan mereka tidak dilakukan secara betul tetapi lebih kepada ingin berseronok dan mendapatkan sorakan penonton.

Kebiasaannya, kumpulan produksi akan memilih naskhah yang pernah dipentaskan seperti karya-karya Dinsman, A.Samad Said dan Usman Awang. Namun begitu, cabaran yang perlu dihadapi oleh pengkarya-pengkarya ini juga melibatkan pengarahan naskhah tersebut. Pengarah-pengarah baharu kurang mendapat pendedahan untuk membuat satu bentuk pengarahan baharu tetapi sebaliknya hanya membuat arahan yang biasa dan kurang menarik. Dalam hal ini, walaupun naskhah bagus telah dipilih tetapi perkara lain seperti pengarahan pentas juga tidak boleh diabaikan.

Walaupun masalah naskhah kurang berkualiti ini wujud namun begitu, masih ada kumpulan produksi dan pengkarya yang boleh menghasilkan naskhah yang bagus. Mereka ialah individu berbakat yang ada suntikan ilmu penulisan dalam menghasilkan karya yang baik. Namun begitu, perkara ini masih tidak membanggakan kerana masih terdapat banyak naskhah yang kurang berkualiti sekaligus menafikan naskhah yang bagus untuk dianggap sebagai satu persembahan teater yang perlu ditonton.


2.4       Apresiasi Khalayak terhadap Teater

Apresiasi seni khalayak di Malaysia masih kurang mendapat sambutan walaupun ada peningkatan jumlah peminat seni persembahan tanah air. Masih banyak penggiat-penggiat teater baharu yang perlu membuat perancangan yang teliti sebelum menjalankan persembahan. Nilai apresiasi penonton atau khalayak ini telah menjadikan nilai kualiti persembahan teater sukar untuk meningkat. Jumlah keuntungan yang lebih banyak akan mendorong penggiat-penggiat teater yang bagus untuk terus menghasilkan persembahan yang lebih baik pada masa hadapan. Sekiranya nilai apresiasi penonton masih pada tahap yang kurang bagus maka, proses pertambahan pengkarya yang bagus akan menjadi semakin lambat.

Promosi teater juga kurang mendapat perhatian. Walaupun banyak terdapat medium pemasaran seperti media sosial dan juga media cetak namun perkara ini masih tidak dipandang sebagai satu perkara yang serius. Hanya beberapa pihak yang mengambil perhatian kepada perkara ini. Kebanyakan wartawan dan editor lebih suka untuk menyampaikan berita-berita yang boleh dijadikan satu berita menarik untuk tajuk utama surat khabar dijual berbanding mempromosikan satu persembahan teater. Kumpulan produksi baharu pastinya mempunyai kesukaran untuk mendapat peluang untuk mempromosi karya mereka dalam media cetak dan mereka memilih untuk mempromosikannya dalam media sosial.

Usaha-usaha yang dijalankan oleh beberapa kumpulan penggiat teater baharu dengan melibatkan diri dalam perniagaan lain telah membantu wujudnya penonton daripada kumpulan sasar yang lain. Mengambil contoh, ada kumpulan penerbit teater baharu mengambil pendekatan mengembangkan peminat mereka dengan menjalankan perniagaan penerbitan buku fiksyen. Penonton-penonton yang meminati buku fiksyen akan secara tidak langsung mempunyai rasa minat untuk menonton persembahan teater. Hal ini kerana, penggiat teater ini akan menjual buku mereka dalam festival buku dan dalam masa yang sama mempromosi teater baharu mereka. Walaupun bukan semua yang akan hadir ke pementasan ini namun kesedaran pengguna terhadap persembahan teater itu lebih penting. Ini telah menambah jumlah penonton baharu.


2.5       Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Tajaan
Kebanyakan produksi akan mengalami masalah dalam mencari dana untuk mementaskan persembahan teater. Namun begitu mereka perlu bijak dalam menyelesaikan masalah ini kerana setiap perniagaan memerlukan satu keputusan yang bijak.  Ibbotson (2008) menyatakan perniagaan ialah satu kerja kreatif dan juga penghasilan sesuatu. Oleh itu, pengurusan kewangan yang berkesan dalam produksi teater amat diperlukan. Ini merupakan satu keputusan perniagaan yang memerlukan kemahiran dan juga tahap pengurusan yang baik.

Biasanya, penerbit teater baharu akan mengeluarkan duit simpanan sendiri untuk menjalankan persembahan teater dan mengharapkan keuntungan untuk dibahagikan sama rata kepada seluruh produksi. Jumlah ini bergantung kepada jumlah penonton dan tiket yang berjaya dijual. Sekiranya, penerbit mengeluarkan terlalu banyak modal, produksi akan mengalami masalah yang besar untuk mendapatkan keuntungan yang lebih. Oleh itu, seorang penerbit teater perlu bijak dalam membuat perbelanjaan supaya tidak rugi dalam membuat perniagaan. Kebanyakan penggiat teater muda mempunyai masalah ini kerana mereka melihat kepada andaian keutungan semata-mata tanpa memikirkan nilai risiko yang bakal mereka perolehi.

Kebijaksanaan penggiat dalam mengeluarkan jumlah modal adalah sangat diperlukan. Hal ini kerana, setiap jenis atau skala persembahan mempunyai nilai modal yang berbeza. Untuk teater berskala kecil modal yang lebih kecil akan diperlukan dan sebaliknya untuk teater yang berskala sederhana atau besar. Kesilapan dalam membuat perancangan modal akan menyebabkan kerugian dalam produksi dan pengurusan kewangan amat diperlukan oleh sesebuah produksi.

Kebanyakan produksi teater baharu tidak akan mempunyai pejabat sendiri kerana mereka melakukan persembahan berdasarkan kepada projek bukannya keuntungan setiap bulan. Jumlah projek pementasan yang tidak banyak seperti dua persembahan dalam masa setahun telah menghadkan kewangan produksi untuk membayar sewa pejabat. Mereka lebih suka berbincang di kedai makan ataupun melalui panggilan telefon berbanding mempunyai pejabat sendiri. Ada juga kumpulan yang kebanyakan ahlinya mendiami rumah yang sama. Di rumah inilah mereka akan berbincang tentang projek pementasan terbaharu mereka.

Kebanyakan penggiat teater baharu perlu menjalankan persembahan yang akan melibatkan kos yang lebih sedikit. Ini akan membantu produksi untuk mengelakkan risiko kerugian yang lebih besar. Biasanya, mereka tidak melihat kepada keuntungan yang banyak tetapi sebaliknya lebih suka untuk membuat kajian terhadap jumlah penonton yang akan hadir ke pementasan mereka nanti. Pada waktu ini, penerbit akan menjalankan banyak tugas untuk mengurangkan kos produksi. Perkara ini memang agak sukar untuk dilakukan tetapi mereka perlu melakukannya untuk menjimatkan kos dan mengelakkan kerugian yang lebih.

Perbelanjaan sampingan seperti makan dan perbelanjaan untuk membuat panggilan akan ditanggung oleh ahli produksi sendiri. Sekiranya penerbit atau ketua kumpulan mempunyai lebihan kewangan maka pihak produksi akan mendapat banyak kelebihan seperti bantuan makanan dan juga panggilan. Penggiat teater baharu menjalankan teater bukan semata-mata mahukan keuntungan tetapi keutamaan mereka ialah untuk menjadikan persembahan mereka ditonton oleh umum.

Salah satu cara yang terbaik untuk mengurangkan kos produksi ialah dengan mendapatkan tajaan. Kebanyakan kos produksi akan dapat dikurangkan dan sekiranya pihak produksi bijak dalam mencari sasaran penaja yang berpotensi, mereka akan lebih mudah menjalankan persembahan mereka. Lebihan tajaan boleh digunakan untuk meningkatkan gaji ahli produksi dan juga dapat menambahbaik mutu persembahan dari pelbagai aspek. Namun begitu, untuk mendapatkan tajaan bukanlah satu tugasan mudah. Richardson menyatakan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian semasa mendapatkan tajaan.

Penaja bersetuju untuk menaja kerana mereka mengharapkan pulangan kepada pelaburan mereka, mereka meminati teater, merasakan mereka beruntung, atau percaya pada penilaian penerbit atau pengurusan dengan rekod yang baik.
(Richardson, 1998, 6)

Ciri-ciri yang dinyatakan oleh Richardson ini boleh menjadi satu rujukan untuk penggiat teater baharu mencari tajaan. Di Malaysia tajaan boleh diperoleh daripada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, syarikat ataupun individu. Namun begitu, untuk mendapatkan tajaan bukanlah satu kerja yang mudah kerana masih banyak syarikat atau badan kerajaan melihat seni persembahan teater sebagai satu ruang promosi yang kurang berkesan. Kos produksi teater yang besar juga menyebabkan banyak syarikat akan bertindak untuk tidak menaja persembahan. Kesannya, penggiat-penggiat teater di Malaysia memilih untuk hanya menggunakan duit sendiri.

Dalam beberapa keadaan, pihak produksi terpaksa mengabaikan keutamaan aspek persembahan apabila mendapat tajaan. Syarikat yang menaja persembahan akan meminta produksi untuk meletakkan logo atau menyebut nama syarikat mereka dalam persembahan. Ini merupakan satu bentuk promosi yang diinginkan oleh syarikat penaja. Dalam situasi tertentu, syarikat penaja tidak meletakkan syarat ini tetapi sebaliknya produksi yang berminat untuk melakukannya. Kesan daripada penonjolan tajaan ini telah sedikit sebanyak mengganggu persembahan. Hal ini kerana, sekiranya susun atur tajaan tidak dibuat dengan sempurna maka akan mencacatkan beberapa bahagian dalam persembahan dan seterusnya mengabaikan elemen estetik dalam persembahan. Namun begitu, pengkarya tidak mempunyai pilihan sebagai balasan kepada tajaan yang ditawarkan. Walaupun begitu, keutamaan kepada persembahan juga perlu diambil perhatian. Oleh itu, kebijaksanaan pereka atau pengarah persembahan supaya kewujudan penonjolan keterlaluan tajaan tidak wujud dalam persembahan.



3.0       Kesimpulan

Persembahan teater dalam negara telah meningkat dari setahun ke setahun dengan peningkatan jumlah pementasan teater. Ini merupakan satu perkara positif terhadap seni persembahan teater dalam negara. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh penggiat-penggiat teater baharu telah menyebabkan perkembangan teater di Malaysia tidak bergerak lebih pantas. Usaha daripada pelbagai pihak amat diperlukan dalam memberi sokongan kepada penggiat muda supaya terus berkarya dan akan meneruskan jumlah peningkatan karya-karya yang lebih berkualiti dan juga penonton yang lebih ramai pada masa hadapan.

Diharap penggiat-penggiat baharu yang ingin mencuba bidang ini supaya bijak dalam mengatur strategi supaya tidak gagal dalam menghasilkan karya yang bagus. Hal ini kerana, teater ialah satu seni yang penting dan mempunyai peranan yang perlu diambil perhatian dalam sesebuah negara. Perkara ini disokong oleh pernyataan Mohammed Saleeh Rahamad  dan Rozlan Mohamed Noor dengan menyatakan bahawa teater mempunyai nilai dalam persembahannya untuk membantu dalam peningkatan intelektual sesebuah bangsa.

Teater, sebagaimana tradisi kebudayaan besar, merupakan satu daripada wadah yang memancarkan ketinggian pemikiran, intelektual, serta seni estetika sesuatu bangsa.
(Rahamad dan Mohamed Noor, 2014, 223)

Merujuk kepada pernyatan tersebut jelas bahawa sesebuah bangsa memerlukan satu cara untuk meningkatkan tahap pemikiran dan teater merupakan salah satu medium yang sesuai. Oleh itu, semakin banyak penggiat teater baharu bertambah dalam negara atas kesedaran ini dan untuk mencapai matlamat ini graduan teater perlu mahir dalam membawa ilmu dan pengalaman yang diperoleh semasa belajar dahulu supaya dapat diaplikasi dengan bijak. Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman. Ini sangat penting supaya seni teater dalam negara terus subur dan akan menjadi satu seni persembahan yang menarik untuk ditonton kerana seni teater bukanlah seni hiburan semata-mata.







Bibliografi
Hatcher, J. (1996). The Art & Craft Of Playwriting. Cincinnati, Ohio: Story Press.
Ibbotson, P. (2008). The Illusion of Leadership. England: Palgrave Macmillan.
Mohamad Nazri Ahmad., (2000). Seni Persembahan Drama Melayu Moden. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pine, B. and Gilmore, J. (1999). The Experience Economy. St. Paul, Minn.: HighBridge Co.
Rahamad, M. and Mohamed Noor, R. (2014). Sastera Teras Negara Bangsa. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Richardson, J. (1998). Careers in the Theatre. London: Kogan Page.


No comments: