expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tajaan

Lazada

Lazada Malaysia

Tuesday, December 4, 2012

Kritikan Teater Obesiti


Teater Obesiti merupakan salah satu teater terbitan kumpulan Empty Space. Mereka merupakan penggiat teater alternatif yang terdapat di Malaysia dan bergerak seiring dengan kumpulan-kumpulan teater kecil yang lain. Perkembangan seni teater dan penerimaan penonton mula semakin banyak terhadap teater apabila teater semakin selalu dipentaskan dan ini menunjukkan peningkatan yang sihat untuk industri teater.

Teater ini mengisahkan tiga orang peserta yang mempunyai berat badan berlebihan dan ingin menyertai pertandingan seni suara yang bernama 'Ah Suara'. Mereka menceritakan pengalaman mereka menghadapi kehidupan dan seterusnya mencapai cita-cita untuk menjadi penghibur.

Dari aspek penulisan, penulis untuk karya ini mempunyai sifat ingin memberi kepada penonton. Dalam erti kata lain memudahkan pemahaman penonton terhadap karya yang ingin dipersembahkan. Konsep ini bagus untuk membawa penonton pasca moden melihat persembahan teater tetapi ia telah menyebabkan seni penulisannya kelihatan longgar dan banyak memberi. 

Ketiadaan konflik yang besar dan juga point of attack untuk cerita semasa mereka hendak masuk pertandingan ujibakat menyebabkan karya ini kurang berkesan. Konflik diwujudkan secara menggunakan konsep imbas kembali. Dalam hal ini konflik dalaman setiap watak diceritakan. Namun begitu, konflik ini kelihatan sukar untuk membentuk karektor setiap watak sekaligus menyebabkan penceritaan pokok kurang diberi perhatian. 

Cerita pergaduhan antara watak iaitu semasa mereka berebut beg(bukan imbas kembali) dilihat sebagai satu point yang bagus tetapi point ini tidak dikembangkan dan seterusnya menyebabkan ia bersifat terlalu memberi.

Persembahan teater ini dimulakan dengan setiap watak menyanyikan lagu 'Tiru Macam Saya'. Mungkin dari segi melodi lagu ini kelihatan sesuai tetapi kalau melihat dari aspek liriknya dengan naskhah ini kelihatan seperti naskhah ini bersifat feminisme yang pelik. Penggunaan projektor yang banyak memberikan rasa seperti menonton persembahan rakaman nyanyian. Perkara ini seterusnya mengurangkan elemen menarik pada teater. 

Penggunaan projektor ini dilihat lebih banyak kepada efek dan juga background. Dalam hal ini, kemasan elemen sinografi kelihatan mudah dan seterusnya menyebabkan teater ini kelihatan seperti satu persembahan nyanyian dan kurangnya elemen teater. 

Namun begitu, saya merasakan bahawa rekaan pencahayaan oleh pereka pada malam itu sangat bagus. Mood dan juga setting dibantu oleh rekaan pencahayaan yang baik. Ini menyebabkan karya ini kelihatan menarik. Adunan warna dan juga rekaannya amat membantu.

Naskhah ini seterusnya ditamatkan dengan adegan salah seorang peserta memakai kaki palsu untuk menunjukkan bahawa peserta ini tidak dapat menari dalam adegan sebelumnya kerana menggunakan kaki palsu. Mungkin penamat ini lebih menarik sekiranya ia ditamatkan dengan ketiga-tiga mereka keluar dari ujibakat tadi kerana ujibakat mereka telah selesai. Hal ini kerana pada saya isu peserta ini tidak berjaya menari lebih difahami sebagai ia sakit kepala daripada ia menggunakan kaki palsu.

Lakonan para pelakon pada malam itu jurang kurang berkesan. Ada beberapa bahagian yang mereka menjerit dan bunyi menguatkan suara. Ada juga emosi yang terlalu dilebih-lebihkan seolah-olah mereka berlakon farce atau penonton mereka jauh dari mereka. 

Walau bagaimanapun, naskhah ini bukanlah satu naskhah yang mengecewakan. Naskah ini masih berada dalam tahap yang baik cuma perlukan penambahbaikan dalam beberapa bahagian yang kelihatan kurang menarik. Idea-idea pengarah mungkin boleh dikembangkan dengan memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang menjadi tumpuan masyarakat pasca modenisasi seperti Syarifah Amani. Mungkin dengan cara ini naskhah ini menjadi lebih baik dan dianggap sebagai karya yang lebih cantik. 

Usaha Imran dalam mengarah naskhah ini merupakan satu usaha yang baik dalam memperbanyak kegiatan teater dalam negara di sekitar Kuala Lumpur dan seterusnya menambah golongan peminat teater. Bak kata kawan saya "Buat teater jangan berhenti!"...

1 comment :

penyuluh perikanan said...

postingan yg sangat bagus dan bermanfaat, terima kasih telah berbagi

Tajaan