Post Page Advertisement [Top]

Imej: Facebook White Rabbit Red Rabbit


White Rabbit Red Rabbit ialah satu pementasan teater yang berkisarkan tentang seorang penulis iaitu Nassim Sleimanpour yang tidak dapat keluar dari negara sendiri atas sebab undang-undang negara. Di Iran sesiapa yang ingin keluar dari Iran dan mendapatkan passport perlu berada dalam ketenteraan selama dua tahun. Nassim yang enggan mengikuti undang-undang ini telah menulis satu skrip teater dengan harapan akan ada orang menjemputnya ke luar negara dan berjaya keluar dari Iran dengan idea skripnya.

Teater ini merupakan satu teater yang dipersembahkan dalam bentuk Staged Readings Theatre iaitu pelakon perlu membaca skrip sambil berlakon tanpa set dan kostum yang lengkap. Namun begitu emosi dan juga penyampaian lakonan tidak diabaikan. Bentuk persembahan ini biasanya dilakukan untuk persembahan dalam satu bengkel atau perbincangan dan setelah selesai lakonan pentas akan berlaku sesi perbincangan dan seterusnya akan dikupas pelbagai isu berkaitan dengan lakonan yang dipersembahkan.

Dalam persembahan teater White Rabbit Red Rabbit, pelakon diberikan skrip apabila dia berada di atas pentas dan dia perlu melakonkan watak berdasarkan skrip sejurus sahaja dia membuka dan membaca skrip dan setiap hari akan ada pelakon yang berbeza melakonkan watak yang terdapat dalam skrip. Dalam versi Instants Cafe, mereka telah memilih dua tempat pementasan berbeza iaitu DPAC dan PenangPAC dan setiap pelakon yang berbeza antaranya Sharifah Amani, Iedil Putra, Anne James dan Pete Teo (sekadar menyebut beberapa nama) dan dipersembahkan dalam terjemahan bahasa yang berbeza.

Saya datang ketika pementasan yang dilakonkan oleh Iedil Putra pada 20 Februari 2014. Dalam pementasan ini saya melihat Iedil penuh dengan persoalan tentang skrip yang akan dia dapat kerana dia tidak pernah membaca skrip ini, melakonkan skrip ini dan dalam masa lebih dari sejam perlu melakonkan satu skrip teater yang menggunakan konsep staged reading theatre. Dia bermula dengan emosi yang agak tegang tetapi kelihatan sedikit tenang seterusnya berubah kepada emosi yang agak tenang dan seterusnya berubah kepada satu emosi saspen ditambah komedi – black comedy.

Pada saya apa yang disampaikan oleh pelakon yang melakonkan teater ini ialah sangat jujur dan penuh emosi kerana skrip ini tidak dilakukan tanpa sebarang latihan. Walaupun skrip ini hanya memerlukan pembacaan tetapi tugas pelakon dalam mengikut arahan pentas yang ditulis dalam skrip dan juga menyampaikan lakonan dalam pembacaan mereka bukanlah satu kerja yang mudah.

Mereka perlu mengambil berat aspek penyampaian lakonan walaupun secara asasnya mereka hanya perlu membaca. Hal ini kerana, tanpa penyampaian yang bagus lakonan dalam teater ini akan kurang berkesan. Perkara ini sama seperti seorang menteri membaca teks ucapan mereka. Sekiranya teks ucapan disampaikan tanpa penyampaian yang berkesan teks ucapan akan menjadi bosan dan akan mempengaruhi keseluruhan teks walaupun teks itu bagus.

Pada persembahan malam itu, Iedil telah memberikan satu lakonan yang baik dan sporting. Pengalaman yang ada pada Iedil menjadikan dia sebagai seorang pelakon yang naturalist (kerana sememangnya dia menjadi diri dia di atas pentas). Perasaan takut yang wujud dalam dirinya diindahkan dengan witty yang ditulis oleh Nassim. Ini seterusnya menjadikan pementasan ini kelihatan sangat menghiburkan. Selain itu, pemecahan dinding keempat (fourth wall) telah menambah nilai menarik dalam persembahan ini kerana penonton boleh berinteraksi bersama pelakon dan perkara ini menyebabkan penonton rasa seronok dan lebih dekat dengan naskhah.

Naskah Nassim telah dilihat sebagai satu naskhah yang sangat benar. Nassim telah memberikan sedikit elemen sureal tetapi dengan penyampaian penulisan yang hebat, pelakon dan penonton merasakan bahawa pementasan ini benar-benar berlaku. Penulis memberi kepercayaan bahawa Nassim berada bersama penonton dengan menyatakan dalam skrip perasaan dia apabila skrip ini dilakonkan dan arahan pentas yang dilakukan oleh Nassim menunjukkan seperti dia benar-benar berhubung dengan pelakon yang berlakon dalam naskhah ini.

Susunan naskhah ini juga kelihatan menarik. Penulis telah menulis dengan memperkenalkan dirinya dan menjadi rakan lakon yang tidak dilihat secara visual kepada pelakon pentas. Seterusnya, dia menceritakan tentang risiko iaitu kematian. Diselang-selikan dengan cerita arnab putih dan arnab merah dan ditamatkan dengan memberi rasa benar kepada penceritaannya tentang risiko yang akan diterima dan dihadapi oleh pelakon dan penonton.

Kesimpulannya, naskhah ini telah ditulis dengan baik dan telah dipersembahkan dengan baik juga oleh pelakon persembahan. Kerjasama penonton yang sporting malam itu agak membantu menjadikan naskhah ini menarik untuk ditonton dan pada saya paling hebat bila Nassim kata “dia tak nak bertanggungjawab atas apa yang akan berlaku pada malam itu”.


HEBAT!

Kepada mereka yang tak tengok lagi.. Meh serbu PenangPAC pada
26 FEB - 1 MAC 2014
Lakonan:
1)Hardy Shafii (BM)
2)Ho Sheau Fang (Hokkien)
3)Ezra Zaid (English)
4)Hayati Ramli (BM)


No comments: