expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tajaan

Lazada

Lazada Malaysia

Wednesday, February 3, 2016

Istana Budaya Mencari Budaya

Istana Budaya Mencari Budaya

Dalam beberapa tahun ini Istana Budaya telah dilihat sebagai satu tempat untuk para penggiat teater yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang seni padahal di mata mereka hanya keuntungan dan nama semata-mata. Walaupun Istana Budaya diselang-selikan dengan beberapa persembahan yang bagus dan juga persembahan dari luar negara namun hakikatnya keadaan di Istana Budaya berubah secara minimal setiap tahun.

Tidak dapat dinafikan untuk mementaskan pementasan di pentas yang dianggap sebagai pentas yang bertaraf dunia (walaupun terdapat banyak tempat duduk yang mempunyai pandangan yang sangat-sangat terhad dan balkoni yang hanya digunakan untuk menggantung pencahayaan pentas) memerlukan kewangan yang sangat besar. Selalu kedengaran daripada penerbit teater yang selalu mementaskan pementasan di Istana Budaya iaitu dengan keupayaan kewangan yang minimum adalah sangat mustahil untuk mendapat keuntungan mementaskan teater di Panggung Sari. Disebabkan oleh perkara ini kebanyakan penerbit yang akan mementaskan pementasan di Panggung Sari ialah mereka yang mempunyai tajaan. Bagi mereka yang kurang bernasib baik dalam mencari tajaan mereka mungkin akan untung sedikit atau balik modal atau sama nasib seperti beberapa penerbit teater yang gulung tikar memandangkan tidak mendapat keuntungan daripada pementasan yang telah dijalankan.

Persoalan tentang keupayaan penerbit ini telah menyebabkan penerbit yang hanya mementingkan keuntungan akan menggunakan langkah mudah dengan mengangkat budaya popular dalam negara dalam persembahan. Ini menyebabkan naskhah yang baik jarang dipentaskan dan ketaksuban penerbit dalam terlalu mengikut kehendak budaya popular yang tidak semestinya bagus dalam seni persembahan.

Keadaan menjadi semakin parah apabila penerbit memilih untuk membayar ahli produksi dengan harga yang tidak bersesuaian dengan kepakaran mereka. Ini menyebabkan kebanyakan penggiat dan bakat-bakat yang bagus tidak menerima tawaran dalam produksi kerana mereka menganggap nilai kerja mereka lebih daripada yang mahu dibayar oleh penerbit. Kesannya, pekerja yang kurang berkemahiran dalam beberapa bidang bersetuju untuk bekerja dalam produksi tersebut. Hakikatnya, masih ada pengkarya bagus yang boleh diberi gaji dengan harga yang murah namun kesan daripada terlalu mengaut keuntungan telah menyebabkan penerbit yang kurang peka ini memilih untuk menambah jumlah pekerja yang kurang mahir dan boleh dibayar murah. Pekerja yang dibayar dengan bayaran yang tidak sepadan dengan kemahiran mereka ini juga telah diminta untuk melakukan pelbagai kerja atas alasan pengalaman, pendedahan, jaringan dan juga ‘minta tolong’. Perkara ini telah memberi kesan yang negatif kepada produksi kerana ini telah menyebabkan nilai profesionalisme dalam penerbitan teater berada pada tahap yang rendah.

Ketidakpekaan penerbit ini telah memberi kesan kepada naskhah dan juga penonton. Naskhah teater yang bagus tidak dapat disampaikan dengan berkesan dan ini menyebabkan lambakan pementasan bernilai budaya popular dipentaskan. Nama-nama pelakon teater yang boleh berlakon dengan bagus juga hampir tiada. Kalau ada, mereka biasanya akan diletakkan sebagai watak sampingan. Wajah-wajah popular di kaca TV telah menghiasi Istana Budaya (perkara ini telah berlaku agak lama) atas alasan untuk memudahkan pemasaran. Satu persoalan timbul tentang kreativiti kumpulan pemasaran produksi. Adakah mereka tidak dapat mencari satu mekanisme yang lebih berkesan selain daripada hanya menggunakan personaliti yang popular untuk mempromosikan produk?

Lambakan persembahan teater yang berorientasikan komedi dan wajah-wajah popular ini menjadikan pemikiran masyarakat terhadap teater berubah. Semakin banyak kumpulan penggiat teater tidak merasakan bahawa mereka perlu untuk menjadi penonton di Istana Budaya kerana mereka merasakan seni persembahan telah menjadi satu perniagaan murah dan nilai mereka sebagai penonton yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam teater telah dipandang mudah. Bagi kebanyakan penonton pula, mereka akan menganggap persembahan teater yang bagus ialah persembahan teater yang mempunyai gelak tawa dan mempunyai wajah personaliti popular. Lihat sahaja kalendar persembahan di Istana Budaya. Kebanyakan persembahan yang dipersembahkan kini lebih kepada pementasan komedi.

Istana Budaya boleh dianggap sebagai panggung negara. Namun begitu, sekiranya kita membandingkan kepada beberapa lagi panggung-panggung lain kita akan dapat melihat betapa nilai ini sekarang semakin terhakis. Istana Budaya mungkin nampak indah dari luar tetapi hakikatnya Istana Budaya kurang memberi perhatian kepada pementasan yang berkualiti sehingga menjadikan pengisian Istana Budaya kurang indah.

Kumpulan penggiat teater juga ada yang merajuk dengan pengisian Istana Budaya. Mereka memilih untuk mementaskan pementasan di tempat lain yang boleh membantu mereka menyemarakkan idea kreatif mereka. Mereka juga tahu kehadiran mereka sebagai penonton tidak memberi kesan yang besar kepada peningkatan nilai persembahan malah menyebabkan penerbit yang kurang peka ini galak menerbitkan pementasan yang berteraskan keuntungan semata-mata. Tidak dinafikan bahawa sebagai penerbit keuntungan ialah antara perkara utama namun, nilai persembahan juga perlu diberi perhatian.

Masih ada persembahan yang bagus dipersembahkan di Istana Budaya dan masih ada harapan untuk bercambahnya teater-teater berkualiti di sini. Untuk itu, mereka yang sepatutnya berada di pentas utama ini ialah mereka yang mempunyai idea-idea kreatif yang menarik dan mampu untuk mengangkat teks yang sempurna di atas pentas. Kesannya, pemikiran masyarakat akan berubah dan menganggap Istana Budaya sebagai satu pentas yang mementaskan hampir kesemua naskhah yang bagus dan untuk penggiat teater pula mereka perlu benar-benar bersaing untuk berada di pentas ini. Ini akan berlaku sekiranya lambakan naskhah yang baik dipentaskan dalam negara dan perkara itu mungkin akan berlaku puluhan tahun lagi.

Ada soalan yang perlu dijawab sebelum kemungkinan puluhan tahun itu berlaku.

Adakah Istana Budaya masih mencari budaya atau akan terus terikat dengan ‘budaya’?




*Saya pohon jawapan dibuat dengan penuh ketenangan sambil menikmati kopi panas dan angin petang yang sederhana kencang.


Walid Ali

No comments :

Tajaan