Post Page Advertisement [Top]



20 Julai 2016
Stava

Melangkah kaki keluar dari kapal terbang. Aku dapat rasakan ketenangan tempat yang bernama Sweden ini. Aku melihat seluruh tempat di lapangan terbang. Sangat tenang dan seolah-olah tidak ada apa yang perlu aku risau. seolah-olah tidak ada apa-apa yang akan berlaku selepas ini. Tanah Sweden ini pada langkah pertama aku sangat tenang.

Aku melangkah keluar dari lapangan terbang Skavsta dan terus membeli tiket bas Flygbusussana ke bandar Stockholm. Dalam perjalan ke stesen bas aku mengambil satu kad telefon Lysa yang sedang diberi percuma oleh seorang gadis Sweden. Tack! Dia kata padaku. Perjalanan menunggu menaikkan barang ke dalam bas juga sangat tenang. Saya ulang semula. Seolah-olah tidak ada apa yang akan berlaku. Aku masuk ke dalam bas. Menunjukkan tiket bas dan terus duduk di kerusi yang menghadap tingkap. Waktu itu aku cuma mahu berehat setelah terlalu penat menunggu kapal terbang untuk berlepas di Stansted.

Aku menyarung tali pinggang keselamatan dan terus memandang ke luar tingkap. Terlihat ada banyak tumbuhan hijau dan pokok yang tinggi. Waktu ini aku cuma boleh mengenangkan keadaan kampung aku. Sekarang aku sudah menjumpai satu tempat yang mempunyai kualiti yang sama seperti kampung halaman aku. Lagu yang dipasang oleh pemandu bas bunyinya perlahan. Aku yakin lagu yang sedang dipasang oleh pemandu bas ini ialah lagu pop Sweden sebab bahasa yang digunakan ialah bahasa tempatan. Muziknya juga bersifat kontemporari. Lagu demi lagu bertukar. Masih lagi aku mendengar lagu yang tidak membingit telinga. Mungkin aku terlalu lama hidup dalam kelompok masyarakat yang mendengar lagu pop Amerika sehingga aku terlupa bahawa lagu pop tidak bingit juga sedap didengar.

Di luar tingkap lutsinar bas, aku masih terpukau dengan keindahan tumbuhan kiri dan kanan jalan. Kereta juga tidak banyak. Suasana ini ternyata berbeza daripada tempat-tempat yang pernah aku pergi sebelum ini. Apa yang boleh aku cakap ialah, suasana ini tidak jauh berbeza seperti aku balik kampung. Kampung yang aku nyatakan di sini ialah kampung halaman aku. Mungkin sebahagian orang akan mendapat pengalaman berbeza kerana pengalaman orang lain bila balik kampung mungkin sesak. Tapi tidak bagi kampung halamanku yang agak tenang.

Setelah hampir sejam aku berada dalam bas aku masih lagi terkenang kampung. Aku masih mengharap supaya kerata di jalan raya akan bertambah tapi jangkaan aku meleset. Kereta tidak bertambah. Malah konsisten dengan jumlah sedikit. Kadang-kadang akan terlihat lori melintas. Tapi jumlah dia jauh lebih sedikit daripada kereta.

jalan raya masih panjang. Kelihatan beberapa ladang di sepanjang jalan. Ada kuda sedang menikmati rumput. Di ladang, aku melihat rumah kayu bercat merah dan putih. Mungkin rumah peladang. Ada dua ekor kuda di tengah ladang yang sangat besar. Seekor putih. Seekor coklat. Masing-masing tenang menikmati rumput.

Lagu masih kedengaran dalam bas. Kedengaran juga beberapa orang bercakap dengan nada perlahan. Mungkin mereka juga penat seperti aku. Aku tengok luar lagi. Masih rumput hijau. Ada satu rumput yang menarik perhatian aku. Bentuk dan tekstur sama seperti rumput yang ada di sepanjang sungai kampung aku. Kali ini aku betul-betul rasa seperti balik kampung aku.

Perjalan bas menuju ke bandar mengambil masa selama sejam dua puluh minit dengan panduan kenderaan selaju kurang daripada 60 kilometer per jam. Pemandangan sepanjang jalan telah menyebabkan aku merasa aku perlu lebih masa dalam kenderaan beroda banyak ini. Aku sangat suka suasana ini.

Aku melihat papan tanda jalan. Aku tidak melihat papan tanda iklan di jalan raya. Aku melihat papan tanda menunjuk ke arah Stockholm. Mungkin akan sampai dalam masa beberapa minit lagi. Aku cuba memejamkan mata untuk melepaskan rasa penat semalam tetapi tidak berjaya. Aku lebih suka melihat keindahan dunia di luar tingap bas.




No comments: