Post Page Advertisement [Top]


Kamus Melanau Mato Daro – Melayu Dewan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka  kini sedang dalam proses penerbitan dan kami berterima kasih kepada mereka yang menyumbang dari pelbagai aspek seperti kewangan, pengumpulan kata dan pengesahan kata. Pastinya dengan usaha ini dapatlah kita jadikan warisan kepada anak cucu di kemudian hari. 

Namun begitu, saya mendapati bahawa terdapat beberapa perkara yang diutara oleh penduduk setempat di kawasan Matu dan Daro sepanjang saya membuat kajian lapangan dalam menyiapkan. Terdapat beberapa penduduk merasakan bahawa nama-nama tempat di sekitar kawasan Melanau ini perlu dieja atau dinamakan mengikut kepada sebutan penduduk tempatan. 

Walaupun isu ini dianggap kecil oleh sebahagian pihak, saya sebagai pengkaji budaya dan warisan merasakan bahawa ini ialah perkara yang wajar diberi perhatian kerana ini akan melibatkan identiti tempat, asal usul, budaya, dan warisan tempatan.

Kewajaran untuk ini ialah supaya bahasa Melanau dapat dipelajari oleh semua pihak dengan lebih baik. Dengan adanya sistem ini, diharap juga dapat mengekalkan identiti kawasan yang dinyatakan. Mengambil contoh nama Semop dalam ejaan standard kini perlu dieja kepada Semup. Ejaan Semup ini yang merujuk kepada cara Melanau di kawasan ini menyebut nama kampung nelayan Semop itu juga dipercayai merujuk kepada nama peneroka asal kampung itu.

Antara nama kampung lain yang selalu menjadi sebutan untuk diubah ejaannya ialah Saai. Sekiranya mengikut kepada ejaan penduduk tempatan, ejaan Saai ini perlulah dieja kepada Saei. Berikut disertakan nama kampung atau kawasan kini kepada nama cadangan mengikut ejaan atau sebutan tempatan: Panchor kepada Pasor, Pangtray kepada Pangtrei, Petai kepada Patai, Jemoreng kepada Jemureing atau Jemureng, Kuala Matu kepada Abah Kalah, Kampung Tengah kepada Kampung Dagen, Halud kepada Alud, Penipah kepada Penyipak, Penibong kepada Penyibong, Sedi kepada Sedik, Sebako kepada Sebakau, Nanga kepada Nangar, Matu kepada Mato. 




Orang ramai sedikit sebanyak dapat belajar tentang kata nama dalam bahasa Melanau. Contohnya, kata dagen bermaksud tengah dan nyipak bermaksud nipah (untuk kampung Penyipak). Kesilapan nama tempat seperti Petai sudah pasti akan mengubah sejarah asal tempat itu yang disebut Patai oleh penduduk tempatan yang mana merupakan tempat orang Melanau bercucuk tanam. Sejarahnya pasti berubah kerana petai iaitu sejenis ulam-ulaman tidak mempunyai kaitan dengan nama Patai. Kampung Berjaya misalnya mempunyai nama sendiri dan dipercayai banyak sejarah berkaitan kampung ini sebelum dicatat rasmi sebagai Kampung Berjaya. 

Selain itu, sejarah dan juga cerita rakyat penduduk tempatan pastinya dapat disampaikan dengan lebih baik kerana kekuatan nama atau sebutan asal ini. Para pengkaji sejarah, budaya, bahasa dan ahli akademik pastinya akan lebih mudah untuk mencari asal-usul penduduk tempatan berdasarkan perubahan ini. Sekiranya nama asal Melanau ini tidak diangkat, adalah lebih sukar proses kerja ini. 

Berkemungkinan isu ini berlaku kerana dahulu catatan ini dilakukan oleh pegawai British dan juga pegawai Melayu. Padanan ejaan nama dengan sebutan Melanau sedikit meyukarkan mereka. Walaupun identiti yang sudah lama dikenali umum pastinya memberi kesan kepada beberapa urusan rasmi namun, perubahan ini tidaklah mustahil kerana dalam sejarah Sarawak telah banyak tempat diubah ejaan. Sri Aman kepada Simanggang misalnya. 


Walid Ali

No comments: