Post Page Advertisement [Top]



Pelbagai ragam. Pelbagai sifat. Pelbagai warna. Semuanya pelbagai. Satu unsur yang dibawa dalam kerja seni (artwork) dalam filem pendek 'Pesona Ter' satu filem pendek arahan pelakon dan juga penggiat seni tanah air, Khir Rahman. 

Filem pendek ini mengisahkan tentang kumpulan pemain kompang dalam satu kampung yang berusaha untuk menaikkan kumpulan mereka dan dalam masa yang sama mereka mempunyai masalah dalaman. Permasalahan yang mereka hadapi seterusnya membawa kepada nasib yang kurang baik kepada watak Sofi Jikan (saya tidak ingat nama watak dia). Ini cuma sinopsis pendek.

'Pesona Ter' ditulis oleh Khir Rahman dan juga Siti Jasmina. Mereka telah membawa satu pemikiran yang baik dalam memberi penjelasan tentang sifat manusia dalam pelbagai aspek. Naratifnya disusun dengan kemas dan setiap watak dalam cerita ini mempunyai peranan tersendiri dan seterusnya menjadikan filem pendek ini kelihatan kuat dan berkesan. 

'Pesona Ter' bermula dengan sangat baik. Para pelakon menyanyikan satu lagu yang membawa maksud tentang betapa retoriknya bekerja dalam kerja kumpulan. Lirik dalam lagu 'Teman Pengganti' jelas memaparkan betapa uniti dalam satu kumpulan itu wujud. Mereka juga menari mengikut rentak yang sama. Dalam hal ini persamaan yang dibawa oleh kumpulan pelakon ini menjadikan retorik kerja kumpulan itu jelas.

Kompang dijadikan subjek utama dalam filem pendek ini. Pada permulaan cerita kompang dijelaskan dan latar belakang tidak dipaparkan secara jelas. Adegan perbualan antara watak tidak dipaparkan dengan jelas. Wajah mereka tidak kelihatan dan mereka memandang ke arah yang bertentangan dengan kamera. Dalam erti kata lain pengarah memilih untuk mengambil shot dari belakang mereka. Hal ini memberi gambaran tentang kumpulan orang yang berjawatan tinggi. Pengarah memberi gambaran bahawa mereka sukar untuk dilihat dengan jelas, hanya kedengaran suara dan penuh misteri. Kompang sebenarnya dimainkan oleh mereka dan sekiranya mereka bermain dengan baik maka baiklah bunyi kompang itu dan sebaliknya. Mereka yang amat mempengaruhi keadaaan sekeliling.

Pergaduhan antara watak Sofi dan Wanji jelas dipaparkan melalui permainan visual oleh Khir Rahman. Mereka dilihat secara visual dalam satu frame rumah atau bangunan yang digelapkan dan kita melihat mereka melalui tingkap atau pintu. Watak Sofi berada jauh dari watak-watak lain dan penggunaan kostum yang berbeza padanya melihatkan perbezaan idealogi dan juga betapa jauhnya dia dari kumpulan kompang itu. Sofi juga kurang berminat untuk bergambar dengan mereka. Wanji menyatakan perlu pembaharuan dengan adanya gambar kumpulan yang baru. 

Idealogi yang berbeza ini seterusnya membawa kepada satu konflik yang lebih besar dalam kumpulan. Wanji perlu mencari pengaruh. Maka secara lembut dan penuh berhati-hati Sofi membawa idealoginya bahawa kumpulan kompang ini perlu memusuhi Wanji. Visual Sofi yang memandang ke arah lain menunjukkan dia kurang bersetuju dengan kumpulan itu namun begitu dalam masa yang sama dia memandang masa depannya akan lebih baik sekiranya mereka berjaya meyakinkan kumpulan itu untuk bersamanya. Namun begitu, Sofi mempunyai masalah bila setiap ahli kumpulan mempunyai perwatakan berbeza. 

Dalam filem pendek ini, watak Namron digambarkan sebagai satu watak manusia yang penuh bermuka-muka. Dia merupakan batu api dalam kumpulan. Dia juga membuatkan petelagahan dalam kumpulan secara senyap-senyap dengan hanya memuji sifat dalam diri setiap ahli kumpulan. Perbincangan diambil secara shot yang kurang jelas dan tidak memperlihat wajah dengan jelas menunjukkan perbincangan itu merupakan satu perbincangan rahsia.

Watak-watak lain juga dimainkan dengan karektor berbeza. Misalnya watak Amierul dimain dengan perwatakkanya yang sangat berhati-hati. Watak Amierul mengguna pakaian yang bercorak petak-petak dan ini lain daripada kumpulannya. Ini menunjukkan dia tidak bersama Sofi dan juga tidak bersama ahli kumpulan. Dalam erti kata lain, tak nak ambil campur dan tiada pendirian. Watak Safie Naswip pula mewakili golongan muda yang tidak tahu apa yang berlaku dalam kumpulan itu namun menyokong Wanji dan seterusnya membawa kepada pergaduhan antara watak Safie dan Sofi. 

Secara seninya, Khir telah memaparkan visual masyarakat. Hal ini diwakili oleh satu jalan cerita berkaitan kumpulan kompang. Khir menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai watak tersendiri dan setiap tindakan yang diambil akan memberi kesan sama ada baik atau buruk. Khir juga menyatakan bahawa, kehidupan ini tidak semestinya bersifat adil dan pemain yang sangat bijak akan mengusai satu-satu komuniti walaupun secara kotor.

Filem pendek ini juga dicantikkan dengan shot-shot yang sukar. Permainan one shot ini bukanlah satu permainan yang mudah dan hanya boleh dijayakan oleh lakonan yang baik dan dalam hal ini Khir mempunyai kumpulan pelakon teater yang bagus dan seterusnya menjadikan shot dan visual dalam filem pendek ini kelihatan sangat hidup dan berjaya.

Bahasa visual yang ditunjukkan dalam filem ini juga dibuat dengan baik. Setiap watak peranannya, pendiriannya dibawa dengan lakonan yang berkesan dan juga pemakaian baju yang mempunyai maksud tersendiri. Sofi yang menggunakan baju berwarna merah gelap dan berbeza jenis bajunya dari kumpulannya yang lebih kasual menunjukkan dia begitu mempunyai semangat offensive yang tersembunyi dan juga conservative

Selain itu, idea extra turn yang dibuat dengan penuh pesona memberi rasa terpesona sekejap pada filem pendek ini. Terdapat tiga lagu yang dinyanyikan secara video klip iaitu 'Teman Pengganti', 'Untuk Dia' dan juga 'Sudah Cukup Sudah' disusun dengan baik. Setiap babak dibantu oleh extra turn ini. Setiap lagu mempunyai maksud tersendiri iaitu dalam lagu 'Teman Pengganti' mereka memperlihatkan retorik kerja kumpulan, seterusnya 'Untuk Dia' yang akan berkorban apa sahaja untuk seseorang dan seterusnya lagu 'Sudah Cukup Sudah' yang memperlihatkan perlu ada penamat untuk semua ini dan tidak perlu diteruskan lagi.

Pergaduhan kumpulan menjadi lebih rumit apabila watak Sofi yang mendapat nasib yang kurang baik setelah bergaduh dengan Safie yang mewakili suara anak muda yang lantang bersuara. Watak Sofi yang kelihatan tidak bernyawa itu ditinggalkan oleh Safie dan Safie mula menghubungi Wanji dalam keadaan risau namun Wanji enggan melayannya. Mungkin kerana Wanji telah berjaya dalam membawa misinya dengan memperalatkan kumpulan ini. Shot ditamatkan dengan kompang dikaburkan. Ini menunjukkan masa depan kumpulan itu sudah kabur.

Kesimpulannya, filem ini dibuat dengan penuh nilai dan kesukaran membuat karya ini seterusnya memperlihatkan satu idea yang baik dan penuh bermakna. Usaha dan juga keberkesanan dalam menyampaikan idealogi yang bersifat satira telah dibuat dengan baik dan penuh makna oleh Khir Rahman.

*Terkesan watak Amierul. Suka juga pada visual. Cantik dan kemas.

2 comments:

cAtdOm pWinCess said...

Kumpulan kompang ni boleh jadi juga simbolik terhadap situasi dlm negara kita dan hidden hand yg control perpecahan dan kebngkitn/revolusi rakyat.. what u think ?

walid ali said...

boleh diambil kira