expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tajaan

Lazada

Lazada Malaysia

Friday, October 18, 2013

Kritikan Teater Asramara

Teater  Asramara mengisahkan tentang kehidupan pelajar di sekolah. Kritikan demi kritikan diselitkan dalam dialog yang disampaikan oleh pelakon. Tumpuan kepada fokus ini seterusnya membuatkan ada banyak perkaitan yang berlaku pada setiap watak. Penulis berusaha untuk menjadikan watak watak yang terlibat tidak dirugikan fungsi dan menjadikan wujudnya perkaitan ini secara tidak langsung. Penamat persembahan kelihatan meleret dan ini menjadikan penamat persembahan kurang menyerlah. Mungkin cukup ditamatkan dengan Nor menggantung diri dan black out.

Teater ini dilakonkan oleh pelajar yang mengikuti program yang dianjurkan oleh Revolution Stage (RS). Mereka merupakan kumpulan muka baru dalam teater dan ini menjadi cabaran untuk pelakon dan juga pengarah persembahan.

Lakonan yang dibawa oleh pelakon mereka agak lemah kerana kurang matang dalam persembahan teater. Berlaku keadaan terlupa dialog yang tidak diatasi dengan bijak. Situasi sambut menyambut dialog juga kelihatan kurang berkesan kerana mereka banyak menumpukan kepada penyampaian dialog semata - mata tanpa menyampaikan maksud dialog. Mereka juga kelihatan kurang hidup dan seterusnya menyebabkan persembahan sedikit lemah. Kehadiran Sherry sedikit sebanyak dapat membantu menaikkan sedikit gaya permainan teater ini. Pengalaman Sherry telah memberi warna kepada persembahan ini. Humor yang tidak keterlaluan dan juga penghayatan yang baik telah membantu energy persembahan naik. Lakonan Nadiya Nissa agak baik walaupun dalam beberapa situasi Nadiya kelihatan tidak menonjol dan juga dialog yang disampaikan oleh Nadiya kurang menyengat. Nadiya juga kelihatan kurang selesa dengan watak yang dilakonkan dan masih kelihatan dirinya yang lebih matang dari rakan sebiliknya . Namun begitu persembahan Nadiya patut dipuji kerana dia kelihatan bersahaja dan matang.

Muzik latar yang diadun dalam persembahan ini kelihatan seakan akan sama dengan muzik latar yang pernah digunakan oleh kumpulan ini. Mungkin mereka ingin menjadikan muzik ini sebagai satu tema. Kesegaran elemen muzik akan membantu persembahan ini untuk menjadi lebih baik dan berkesan.

Untuk menghasilkan rekaan seni dengan kekurangan teknikal merupakan cabaran kepada penggiat teater yang ingin menjalankan persembahan di sini. Cabaran ini cuba diatasi oleh RS dan dalam persembahan ini pereka memilih untuk mengekalkan elemen realistik yang wujud dalam dunia sebenar dan diterjemahkan secara visual berdasarkan rekaan set dan pencahayaan.

Pencahayaan untuk persembahan ini membawa penonton untuk bersama merasai mood yang dibawa oleh pelakon. Spot banyak membantu memberi lebih makna pada rekaan pencahayaan dan membantu memberi mood persembahan.

Persembahan ini secara keseluruhannya merupakan satu persembahan yang mencabar kepada pelakon kurang matang dan juga kepada pengarah persembahan. Perkara ini menyebabkan persembahan teater ini kurang menyengat namun usaha RS memperkenalkan muka baru teater merupakan usaha yang baik untuk memberi nyawa berterusan kepada seni persembahan teater dan diharap muka muka baru ini nanti meningkat naik menjadi pelakon yang baik.

1 comment :

uyu kawaii said...

jom join http://artisarainbow.blogspot.com/2013/11/anniversary-giveaway-by-anadiera.html

Tajaan