expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tajaan

Lazada

Lazada Malaysia

Sunday, October 6, 2013

Kritikan Teater Maduku Kalut

Kumpulan penggiat teater alternatif semakin banyak mencuba nasib dalam pentas yang lebih besar dan lebih banyak penonton. Perkara ini juga berlaku kepada kumpulan MASK team. Mereka bermula dari mementaskan teater-teater berkskala kecil dan pada tahun mereka berjaya mementaskan satu naskhah teater adaptasi di Istana Budaya. Satu petanda yang baik kepada seni teater. Perkara ini berbeza daripada tempat pementasan mereka sebelum ini seperti Teater Juta Juta, Teater Kawan-kawan yang Kita Suka dan Satu Plastik Hitam. Perkara ini merupakan petanda yang baik kepada industri teater dan juga seni persembahan di Malaysia.

Maduku Kalut merupakan satu naskhah komedi yang diadaptasi oleh Mazli Abdul Rahman daripada satu karya farce  yang ditulis oleh Ray Cooner iaitu Run For Your Wife. Karya ini juga pernah beberapa kali dipentaskan dan juga pernah dijadikan satu feature film dalam Malaysia.

Maduku Kalut mengisahkan tentang seorang pemandu teksi, Selamat yang berusaha untuk melarikan diri daripada menemukan kedua-dua orang isterinya dalam satu masa. Masalah bermula apabila kedua-dua isterinya melaporkan kehilangan Selamat kepada pihak polis dan Selamat mencuba untuk mengelakkan daripada menemukan kedua-dua isterinya.

Pementasan Maduku Kalut merupakan satu pementasan komedi yang baik untuk ditonton dan mempunyai nilai nilai komersial yang tinggi. Penonton akan menyukai naskhah ini kerana faktor komedi yang dibawa dalam pementasan ini dan juga pemilihan pelakon yang agak dikenali oleh penonton umum. Banyak komedi yang boleh menjadikan penonton gelak dan banyak juga situasi-situasi lakonan yang menarik untuk ditonton.

Namun begitu pementasan Maduku Kalut akan menjadi satu pementasan yang lebih baik sekiranya tumpuan yang lebih diberikan kepada penghasilan karya itu sendiri. Pementasan ini banyak menarik perhatian penonton supaya menghayati setiap komedi yang ingin disampaikan dan sekali-sekala terlihat mengabaikan aspek-aspek pementasan itu sendiri.

Terdapat beberapa arahan pentas yang memperlihatkan pementasan ini kurang bersifat natural tetapi lebih kepada kaku dan mengikut skrip. Ada juga situasi pelakon tidak selesa dengan lakonan mereka. Hal ini banyak berlaku kepada Izu Islam. Walaupun lakonan Izu baik tetapi Izu tidak bergerak secara bebas. Izu kelihatan seperti tidak selesa dengan apa yang dia lakukan. Izu dilihat terlalu dikawal oleh pengarahan dan seterusnya menyebabkan beberapa keadaan dalam lakonannya kurang baik. Penulis berpendapat Izu merupakan seorang pelakon natural dan kreatif kerana penulis melihat Izu berbeza dalam beberapa adegan yang dia selesa dan ini banyak berlaku pada adegan adegan terakhir persembahan. Dia boleh memberikan lakonan yang lebih baik sekiranya dibantu dengan latihan lakonan yang berkesan tetapi dia telah dikawal oleh pengarahan.

Tempo pementasan ini agak kurang menyenangkan. Energy persembahan terasa sedikit lemau walaupun semua maklum bahawa ini merupakan naskhah komedi dan perlukan satu tempo yang pantas dan energy yang tinggi dalam persembahan. Terdapat beberapa aksi lakonan yang memperlihatkan sambut-menyambut dialog kurang berkesan dan lebih kepada hanya menyampaikan lakonan tetapi bukan maksud dialog. Pelakon perlu sedar ruang dan faham akan dialog yang ingin disampaikan. Kesan daripada kurang pemahaman teks telah menyebabkan beberapa aksi yang dilakonkan berlainan dengan dialog yang ingin disampaikan.

Teater ini telah dipentaskan dengan kemas dan ini menyebabkan pementasan ini tidak bersifat progresif dan memperlihatkan pementasan ini kurang segar. Idea-idea yang sedikit gila-gila amat diperlukan dalam pementasan teater pasca modenisasi dan idea gila-gila ini kurang terlihat dalam pementasan ini. Pementasan ini lebih kepada bersifat selamat dan berada dalam situasi selesa.

Rekaan pentas yang disampaikan oleh pengkarya dalam pementasan ini agak menarik kerana pengkarya memilih untuk membuat rekaan bersifat cadangan dan ini kelihatan sesuai dengan permainan teater Maduku Kalut. Dengan hanya menggunakan pencahayaan boleh membezakan rumah isteri pertama dan isteri kedua. Rekaan ini lebih kepada penyampaian situasi tetapi tidak kepada mood naskhah ini sendiri. Rekaan ini akan lebih menarik sekiranya lebih dijelaskan oleh pergerakan dan juga lakonan yang disampaikan oleh pelakon. Mood apabila berada di kedua-dua rumah berbeza perlulah berlainan namun begitu dalam naskhah ini kedua-duanya sama dan perkara ini menyebabkan makna rekaan ini kurang jelas.

Dalam pementasan ini, audio banyak membantu. Audio yang banyak memberikan mood telah sedikit sebanyak membantu mood teater ini naik. Amat menarik dalam rekaan dan juga adunan audio apabila beberapa rekaan audio berkesan dan seterusnya membantu menaikkan tempo permainan teater ini.

Perbezaan waktu yang kurang jelas memperlihatkan pementasan ini agak kalut. Dunia naskhah ini berlaku pada dua hari yang berbeza iaitu hari kehilangan Selamat dan juga hari berita Selamat masuk dalam surat khabar. Adalah agak mustahil situasi hari ini Selamat ditemuramah dan hari ini juga berita surat khabar dikeluarkan. Mungkin berlaku kesilapan apabila pelakon menukar pakaian.


Usaha MASK Team dalam mementaskan teater alternatif di pentas Istana Budaya perlu dipuji dan ini merupakan penjenamaan yang bagus untuk teater. Dalam aspek penyampaian, pementasan ini merupakan satu pementasan yang berada dalam situasi selesa dan berhati-hati. Pementasan ini boleh menjadi satu pementasan popular yang akan dibincangkan oleh peminat-peminat seni tetapi akan menjadi lebih menarik sekiranya diadun dengan rencah yang lebih segar dan diikat dengan kuat. 

Tajaan