Post Page Advertisement [Top]

Imej oleh Syahid Johan

Teater Hypokrites merupakan produksi teater yang diilhamkan daripada satu bengkel lakonan yang dijalankan oleh Namron dan Fared Ayam dalam Ayaq Hangat. Kumpulan pelajar yang terlibat ialah mereka yang kurang mendapat pendedahan terhadap dunia lakonan teater dan juga mereka yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam berlakon. Daripada keseluruhan peserta yang hadir dalam bengkel ini sebanyak enam peserta telah dipilih untuk menjalankan persembahan teater yang bertajuk Hypokrites pada 7-9 Mac 2014 di Freespace Kakiseni SS2.

Lakonan yang dibawa oleh pelakon dalam pementasan ini berada pada tahap yang baik. Dalam tempoh yang memakan masa selama lebih kurang 32 jam mereka telah berjaya membawa satu tahap lakonan yang baik untuk dipersembahkan. Mereka berjaya membawa watak dengan baik walaupun setiap daripada mereka melakonkan pelbagai watak daripada seorang yang hendak menjadi pelakon kepada seorang yang menghadapi masalah keluarga, agama dan juga masalah psikologi. Setiap watak dapat disampaikan dengan baik.

Namun begitu, beberapa situasi dalam pementasan memperlihatkan kekurangan mereka dalam lakonan tetapi tidak berlaku dalam keseluruhan pementasan. Antaranya ialah kekuatan vokal yang kurang menyerlah, gaya lakonan yang kurang memberikan jiwa kepada watak dan juga terdapat keadaan apabila pelakon yang terlibat dalam situasi yang tidak terjangka dalam pementasan dan adlib amat diperlukan. Situasi ini berlaku akibat daripada kekurangan pengalaman pelakon yang terlibat dan masalah ini masih boleh dianggap sebagai minor kerana kelebihan yang ada dalam setiap pelakon dalam pementasan ini ialah mereka masih baru dan segar dalam dunia lakonan. Tahap lakonan yang dibawakan mereka sudah cukup bagus tetapi perlu ada penambahbaikan dengan latihan yang berterusan.

Pentas Kakiseni tempat mereka menjalankan pementasan ini dilihat sesuai dengan konsep yang dibawa oleh Ayaq Hangat. Walaupun pentas ini masih lagi kekurangan dalam beberapa aspek teknikal tetapi improvisasi yang dilakukan oleh tenaga produksi dalam membawa pementasan ini perlu dipuji. Dalam hal ini, keutamaan ialah kepada lakonan dan cerita yang ingin dipersembahkan dan juga dengan bantuan teknik pencahayaan dan pengarahan pentas yang kreatif.  Perkara ini menjadikan teater ini sebagai satu pementasan medan kepada kumpulan pelakon ini melontarkan bakat dalam penuh kekurangan tetapi menghasilkan karya yang baik.

Untuk gaya pementasan, nilai radikal yang dibawa oleh pengkarya dalam naskhah ini menjadikan naskhah ini berada pada tahap yang baik. Sekiranya terdapat isu-isu yang lebih kecil dan diperbesarkan mungkin naskhah bengkel ini akan menjadi lebih menyerlah. Isu yang dibawa oleh setiap pelajar yang terlibat dalam pementasan ini perlulah bersifat lebih mencabar tetapi kebebasan yang diberikan oleh Fared Ayam dan Namron kepada peserta telah menjadikan peserta lebih mudah dalam membawa dan menghati watak. Ini merupakan satu kelebihan kepada peserta yang terlibat tetapi dalam masa yang sama mengurangkan cabaran kepada penghasilan isu yang ingin dikupas.

Ayaq Hangat telah berjaya membawa satu kumpulan pelajar yang tidak mempunyai pengalaman berteater berlakon dan ini merupakan pencapaian yang bagus kepada industri teater. Peserta yang terlibat dalam pementasan ini mendapat satu pengalaman berlakon yang baik dan diharap agar cita-cita produksi ini untuk menjadikan kumpulan pelajar ini sebagai sekurang-kurangnya kumpulan pelakon pembantu dapat menjadi kenyataan kerana lambakan pelakon yang kurang bagus dalam negara berada pada tahap yang menyedihkan. sangat menyedihkan.





1 comment:

Linda said...

Masa zaman study dulu selalu jugak tengok teater, sekrg dah ada family susah betul nak dapat pergi sbb husband tak minat..