Post Page Advertisement [Top]



Lambakan teater teruk membuatkan penonton menjauh dari menonton teater. Mereka telah dijanjikan bahawa semua teater yang akan dipentaskan selepas ini bosan, lengai dan menyeksakan. Sebab itu, dalam beberapa keadaan, kalau kau beri tiket percuma pun, belum tentu orang datang banyak melainkan atas dasar meneman teman wanita yang minat teater atau perlu siapkan satu tesis atau apa sahaja alasan yang tidak berkaitan tentang keinginan ikhlas menonton teater.

Apabila satu kumpulan penonton dipisah dari persembahan teater kerana karya yang menjengkelkan, ini petanda pengkarya tidak dapat bersuara untuk menyampai idea segar. Boleh jadi kerana sikap bernostalgia dan angkuh pengkarya yang sedia ada, tidak kira muda atau tua. Mereka membentuk satu jurang elitis untuk budaya penontonan.

Akhirnya, pengkarya akan terus kecewa. Mereka kemudian salahkan penonton. Cakap penonton tidak hargai seni atau tidak bijak menilai. Padahal, penonton rasa tertipu. Penonton ingatkan meraka akan tengok persembahan yang bagus. Tetapi, disaji masakan kurang rencah. Boleh muntah.

Banyak penonton yang saya jumpa semua tanya saya lepas mereka tonton teater bosan ini tadi.

"Kenapa teater yang aku tengok banyak idea bosan? Kenapa idea bosan ini aku tengok lagi? Kenapa lakonan dia teruk? Kenapa dia pilih skrip ini? Kenapa dia nak jadi pengarah teater?"

Punca masih sama. Wujud jurang sebab penonton risau mereka akan disaji teater yang membosankan dan tak sesuai dengan sosio penontonan. Sebahagian pengkarya pula bila ditegur, menangis. Kemudian cari kambing hitam.

Namun, ada banyak pengkarya hadir setahun dua sewaktu pra hiliran sehingga kini. Mereka juga gila - gila. Mereka berbincang dengan baik tentang teater sehingga jumlah penonton meningkat dari semasa ke semasa. Meraka tidak menyebabkan jurang penonton itu tadi wujud kerana mereka wujud dalam masa. Malah, sebenarnya mereka beri persembahan terbaik kepada penonton mereka dengan idea segar, naskhah yang kuat dan pengarahan yang cukup rencah. Misi mereka satu. Mahu hasilkan karya bagus. Bukan mahu jadi pembunuh seperti kumpulan pengkarya yang membosankan tadi.

Banyak naratif dan tema telah dipilih pengkarya baru yang bagus ini tadi. Mereka semakin bertambah. Sama seperti jumlah pengkarya yang bosan tadi.

No comments: