Post Page Advertisement [Top]

Kritikan Teater Lagenda....

Pada 7 september lepas saya telah pergi menonton dua persembahan teater yang dipersembakan dalam teater lagenda iaitu 'Ibu Mertuaku Episod 1' dan juga 'Ali Baba Bujang Lapok'.....

Karya-karya P.Ramlee apabila diadaptasi ke pentas teater merupakan satu usaha untuk memberi warna dan nafas lain kepada karya-karya agung P.Ramlee.  Perkara ini dijalankan oleh UiTM untuk mementaskan karya-karya P.Ramlee ini ke dalam bentuk teater.  Usaha membawa karya P.Ramlee ke bentuk persembahan teater sebelum ini telah banyak dilakukan oleh penggiat-penggiat teater luar tidak kira dari kumpulan penggiat teater alternatif ataupun penggiat teater professional tanah air.

IBU MERTUAKU

Karya 'Ibu Mertuaku Episod 1' dilihat mempunyai idea-idea dan konsep baru yang menarik untuk dikongsi bersama.  Gaya pengarahan dan juga cetusan idea yang dikeluarkan oleh pengarah persembahan dilihat sebagai satu usaha yang baik dalam membuka mata pengkarya teater dan juga pelajar-pelajar yang terlibat dalam bidang ini. 

Idea-idea pengarah juga disusun secara kemas dan dilihat mempunyai nilainya tersendiri.  Dengan menggunakan tiga pelakon melakonkan satu watak dan juga membawa banyak elemen-elemen lain seperti Kabuki,katak dan juga beberapa adunan pengarahan seni yang menarik,  karya ini dilihat mempunyai pelbagai warna dan corak.  

Struktur naratif persembahan yang bersifat sikuan telah sedikit sebanyak memudahkan pemahaman penonton.  Selain itu, dengan membawa naskhah P.Ramlee yang terkenal dalam negara ia telah memberikan juga pengalaman rasa sudah tahu dalam diri penonton.  Struktur persembahan yang membawa narrator yang bertindak sebagai salah satu watak dalam cerita ini juga kelihatan menarik...  dengan meletakkan watak pemberita kepada narrator ia telah menjadikan persembahan ini tidak kelihatan biasa.

Rekaan set dan juga kostum bagi persembahan ini kelihatan mempunyai maksud tersendiri dan juga telah diadun dengan kemas.  Penggunaan set yang mudah dibawa dan juga dengan setiap pertukaran ada selingan bunyi latar dari pelakon tambahan yang memberikan gambaran tentang apa yang akan dilakukan dalam adegan seterusnya telah membuatkan penonton kurang merasa bosan kerana jika perkara ini diubah dengan menggelapkan pentas untuk mengubah set sudah pasti persembahan ini akan kelihatan membosankan.    Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang mana set tidak perlu dibawa dan diubah kerana ini mengganggu sedikit tumpuan terhadap persembahan.

Rekaan tatacahaya bagi persembahan ini mempunyai masalah apabila pelakon berada di bahagian hadapan.  Mereka seperti kekurangan cahaya sehingga menyebabkan rekaan pada bahagian ini diganti dengan menggunakan lampu follow spot.  Namun begitu, penggunaan follow spot yang terlalu cerah telah mematikan warna yang ada dan juga mematikan kesan 3d dalam rekaan tatacahaya dan juga menyebabkan mood pada aspek pencahayaan kurang.  Ternyata DSB tidak sesuai untuk teknikal teater....

Audio juga mempunyai masalah.  Ada ketika terdengar suara pelakon yang tidak berlakon dalam pentas.  Hal ini berlaku apabila mereka bersuara apabila keluar pentas dan juga kerana bahagian audio tidak mematikan bunyi ketika mereka keluar.  Pelakon juga tidak tahu bagaimana untuk bernafas dengan menggunakan body mic dan ini menyebabkan suara nafas yang terlalu kuat kedengaran.  Pernafasan yang betul akan membantu para pelakon untuk mengekalkan stamina dan juga memberikan tenaga dalam persembahan dan ini perlulah dilatih dengan lebih kerap.

Dalam persembahan 'Ibu Mertuaku Episod 1' masalah utama bagi persembahan ini ialah pelakon utama bagi persembahan ini.  Pelakon watak Kassim Selamat tidak mendalami watak dengan baik.  Kesedihan, kegembiraan, kekalutan dan apa sahaja emosi yang ada pada karektor Kassim Selamat tidak dikeluarkan dengan baik.  Kassim Selamat tidak menyerlah dalam persembahan ini dan karektornya banyak dimatikan oleh rakan lakonnya sendiri.  Mungkin pelakon bagi watak ini perlu melakukan kajian yang lebih dalam dan membuat lebih banyak latihan terhadap wataknya sendiri kerana memegang watak utama merupakan tugas yang sukar dan memerlukan pengamatan yang lebih.

Lakonan yang dibawa oleh pelakon tambahan kelihatan berjaya dan ini sedikit sebanyak membantu persembahan dari kelihatan lemah apabila watak utama gagal menyerlah.  Benarlah orang kata kalau berlakon bukan watak utama yang mempengaruhi lakonan yang bagus tapi kesan terhadap lakonan.  Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang mana mereka gagal mengawal diri sehingga kelihatan mencacatkan persembahan.  

Kesimpulannya karya ini mampu untuk diangkat ke tahap yang lebih baik dengan menjalankan beberapa pembaikan dalam aspek lakonan dan juga teknikal.  



ALI BABA BUJANG LAPOK

Ali Baba merupakan satu karya yang terkenal di dunia.  Kisahnya dengan 40 orang penyamun ini sering menjadi cerita bualan dalam masyarakat.  Dalam karya kali ini pengarah bagi persembahan ini telah memilih untuk mengetengahkan idea feminism dalam pemikiran P.Ramlee dengan membuktikan P.Ramlee meletakkan taraf wanita pada tahap yang tinggi dalam karya tulisan beliau.

Namun begitu, olahan skrip yang kurang menarik apabila kelihatan skrip ini bercakap penjang lebar dan juga terlalu banyak lompang-lompang yang seterusnya menjadikan skrip ini kelihatan longgar.  Idea untuk menggabungkan skrip pendekar bujang lapok dan juga ali baba bujang lapok tidak berkesan.  Hal ini kerana lapangan hubungan antara watak dan juga cerita bagi persembahan ini kurang jelas dan terus menyebabkan seolah-olah saya melihat dua persembahan yang berbeza.


Terdapat beberapa adegan yang kelihatan meleret dan tidak membantu persembahan.  Dengan meletakkan adegan temuramah telah menyebabkan cerita ini semakin kurang menarik kerana ada idea-idea lain yang lebih sesuai untuk menceritakan betapa P.Ramlee menyokong idea feminisme....

Lakonan para pelakon dalam persembahan ini juga berada pada tahap lemah.  Pembawakan watak yang terlalu bersahaja telah menyebabkan lakonan mereka kurang berkesan.  Namun begitu, ada juga para pelakon yang bagus dan ini tidak dapat dinafikan.  Cuma silapnya ialah apabila watak utama yang kurang menyerlah yang mana seterusnya menyebabkan lakonan para pelakon tambahan ini dikawal supaya tidak over shadow watak utama.

Karya ini juga kelihatan kurang terkesan apabila lakonan para pelakon yang terlalu mengambil perhatian penonton.  Mereka terlalu inginkan perhatian sehinggakan lakonan kelihatan kurang ikhlas dan cuma lebih bersifat melafaskan dialog dan membuat gerak.  Tidak bermaksud apabila penonton memberi respon anda berlakon bagus tapi pelakon yang bagus ialah pelakon yang faham apa yang dia buat dan apa yang dia ingin sampaikan kepada penonton.  Terdapat juga gerakan dan dialog yang kelihatan tidak selari dan ini seterusnya membuatkan lakonan mereka lemah.

Idea untuk menggunakan minimalis dalam set kelihatan berjaya.  Hal ini berlaku apabila banyak pihak faham akan fungsi pintu dan juga susunan bongkah kayu itu.  Susunan ini walaupun kelihatan kecil ia telah sedikit sebanyak memberi nilai faham kepada penonton.  Namun begitu, nilai minimal itu sendiri kelihatan lemah dan kurang menyokong dalam membawa pembawaan cerita dan juga aspek sinografi.  Mungkin juga penonton faham apabila mereka pernah melihat filem P.Ramlee.  

Audio bagi persembahan ini telah sedikit sebanyak memberi rasa seronok kepada persembahan.  Menggunakan music secara live telah membantu persembahan cuma lebih baik sekiranya pelakon sendiri yang menyanyikan lagunya. Ini akan lebih memberikan kesan terhadap penonton.  

Kesimpulannya, idea yang diketengahkan oleh pengarah bagi persembahan Ali Baba kelihatan menarik dan ia akan lebih menarik sekiranya terdapat lebih banyak elemen magis dalam persembahan.  Oh...magis ini bukan bermaksud silap mata...tapi 'sesuatu untuk diingat' dalam teater itu....

KESIMPULAN...
Pentas Diploma Showcase merupakan pentas bagi para pelajar mengetengahkan idea dan juga bakat yang mereka ada.  Selain itu, pentas ini jugalah tempat bagi para pelajar menggunakan ilmu mereka belajar selama dua tahun sentengah selama ini tidak kira dalam apa bidang sekalipun.  Apapun,  usaha mengangkat karya P.Ramlee ke dalam teater merupakan usaha yang baik dan pengalaman showcase merupakan pengalaman yang menarik sebelum menamatkan pembelajaran diploma ini.  Ilmu ada di mana-mana even di kedai makan...cariklah kawan2....

No comments: